LARUT – Usaha memperkasa pembangunan infrastruktur di Pasar Pagi Sungai Bayor, Selama akan terus dipergiatkan dalam memastikan kawasan berkenaan kekal berdaya saing sebagai tarikan pelancongan luar bandar.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, ia termasuk pembinaan tandas awam, pintu gerbang dan parkir kenderaan.
Menurut beliau ia selari dengan peningkatan mendadak kehadiran pelancong selepas menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pasar pagi terpanjang di negara ini iaitu 2.32 kilometer (km).

“Buat masa ini, Majlis Daerah Selama (MDS) menyediakan tandas sementara bagi menampung kehadiran pengunjung dan perancangan sedang dibuat untuk membina tandas awam yang lebih lengkap serta tanda mercu di pasar pagi ini.
“Sebagai langlah jangka panjang, pihak majlis dalam proses memohon peruntukan bagi penyediaan kawasan parkir bagi mengelakkan kesesakan dan gangguan kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Santai Media@Pasar Pagi Sungai Bayor di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Yang Dipertua MDS, Nor Akmal Yang Ghazali dan Pengerusi Pasar Pagi Sungai Bayor, Mohammad Ezaiyuhan Awang.

Mengulas lanjut, Sze Yee berkata, sebanyak RM250,000 telah diperuntukkan kerajaan negeru bagi penyelenggaraan Pasar Pagi Sungai Bayor.
Katanya, jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada keseluruhan RM4.55 juta yang disalurkan kerajaan untuk pembangunan pelancongan di kawasan Selama.
“Tarikan utama Pasar Pagi Sungai Bayor ialah keaslian suasana kampung yang masih dikekalkan hinggakan bukan sahaja orang Perak, pelancong dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Pantai Timur ada berkunjung ke sini.
“Berbeza dengan tempat lain yang telah mengalami pemodenan, di sini pengunjung masih dapat merasai pengalaman kampung yang original yang menjadi daya tarikan utama,” katanya. -MG Perak


