IPOH – Golongan muda di Perak diseru sentiasa mengikuti perkembangan Jelajah AIM TVET With Cikgu Saarani agar dapat memahami hasrat Kerajaan Negeri selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri tidak memandang enteng usaha menjadikan Perak sebagai koridor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Beliau berkata, Perak juga berhasrat menjadi sebuah negeri perindustrian dengan membangun beberapa pusat perindustrian disamping mencari pelabur membuka perniagaan di negeri ini.
“Bila kita sudah ada pusat perindustrian, ada pelabur, ada kilang dibina kita perlu mengisinya dengan pekerja berkemahiran.
“Sebab itu dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 kita ada sembilan agenda dan salah satu daripadanya adalah TVET dengan menjadikan Perak sebagai Koridor TVET Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika siaran langsung Malaysia Hari Ini (MHI) di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Saarani turut berkata, beberapa projek berimpak tinggi sedang dilaksanakan kerajaan negeri seperti Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV), Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Silver Valley Technology Park (SVTP) dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).
Katanya, ia akan menjadi platform penting kepada graduan TVET Perak dalam mempamerkan kebolehan dan kemampuan mereka di mana dianggarkan lebih 100,000 peluang pekerjaan bakal ditawarkan dalam tempoh 10 tahun.
Menurut Saarani, justeru itu, golongan muda di Perak perlu memberi ruang dan kepercayaan kepada Kerajaan Negeri yang sedang berusaha menyedia peluang pekerjaan melalui pembangunan sektor perindustrian kepada golongan berkenaan.
“Pesanan saya terutamanya kepada anak-anak muda ikutilah perkembangan Jelajah AIM TVET With Cikgu Saarani agar dapat memahami hasrat kerajaan negeri.
“Jika anak Perak tidak menyambut hasrat ini maka kita terpaksa buka peluang kepada orang luar dan benar ia tidak salah buka peluang kepada orang luar dan warga asing tetapi sebaiknya biarlah rakyat negeri ini diutamakan.
“Kita juga tidak mahu ia salah dengan tujuan asal membangunkan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang mana kita mahu Perak makmur dan ada peluang perkejaan dengan pendapatan tetap dan berpatutan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai langkah Kerajaan Negeri Perak mengubah persepsi negatif terhadap TVET dalam segelintir ibu bapa Saarani berkata, ia dilakukan melalui pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.
Jelasnya, pendekatan turun padang diambil dengan memberi ceramah dan motivasi dengan membawa individu atau graduan TVET yang berjaya dalam bidang masing-masing dalam jelajah di setiap daerah di Perak.
“Kita bawa mereka beri ceramah kepada pelajar dan ibu bapa untuk betulkan bahawa adalah salah jika sekarang kita berpendapat bahawa sijil TVET adalah kelas kedua kerana melalui bacaan saya bahawa 94 peratus graduan TVET laku di pasaran dan ia adalah jumlah yang tinggi.
“Jadi kita nak ubah jika dulu ibu bapa rasa bahawa anak dapat sijil TVET tidak laku ia tidak lagi sekarang kerana mereka laku keras di pasaran,” katanya. -MG Perak