KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang wanita warganegara China selepas dipercayai cuba membolosi pintu pelepasan antarabangsa di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M. Ravi Munusamy berkata, kejadian pukul 1.35 tengah hari itu kemudian tular di media sosial selepas wanita itu bertindak agresif ketika diperiksa di kawasan pelepasan antarabangsa.
Menurut beliau, wanita tersebut didapati melepasi pintu autogate pemeriksaan keselamatan tanpa memiliki tiket penerbangan.
“”Bertindak atas maklumat diterima, suspek ditahan polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA pukul 1.45 tengah hari pada hari sama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Hasil siasatan mendapati wanita terbabit memasuki negara ini pada 30 April lalu untuk bercuti bersama rakannya, namun dipercayai tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli tiket pulang ke negara asal.
Ravi berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Sepang hari ini dan dibenarkan ditahan reman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
Katanya, kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan pihak keselamatan dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan kegusaran awam terutama di Terminal KLIA 1 dan KLIA 2. – MGPerak


