TAIPING merupakan antara bandar ‘a living museum’ atau ‘muzium hidup’ di Malaysia yang menyimpan pelbagai kisah perkembangan awal negeri Perak ketika era perlombongan bijih timah pada abad ke-19.
Bandar yang terkenal dengan julukan ‘Bandar Hujan’ itu bukan sahaja dikenali kerana keindahan landskap alam semula jadi, malah kaya dengan bangunan warisan kolonial yang masih teguh berdiri hingga ke hari ini.
Terletak di persimpangan antara Jalan Tupai dan Jalan Kota, tersergam indah Menara Jam Taiping yang berusia lebih daripada 140 tahun serta menjadi antara mercu tanda ikonik pelancongan dan cukup sinonim dengan identiti bandar warisan berkenaan. -MGPerak





