BATU GAJAH – Sebanyak 4,000 pek sambal nasi lemak, rendang ayam dan daging keluaran perusahaan dari Negeri Perak dieksport ke Arab Saudi untuk dijadikan menu hidangan dalam penerbangan Saudi Airlines.
Ketua Pegawai Eksekutif Syilis Food Manufacturing Sdn Bhd (Syilis), Shahrol Annaz Abdul Nasir berkata, penghantaran terkini menggunakan kontena itu merupakan penghantaran kali ketiga sejak Oktober tahun lalu.
“Pada penghantaran kali kedua Jun lalu kita juga telah menghantar sekitar 1,000 pes aneka sambal bagi memenuhi permintaan daripada Saudi Airlines.
“Dan selepas ini kita harap produk yang kami hasilkan dapat terus dipertingkat dan mungkin kita menjangkakan menerima tempahan kira-kira 9,000 pek sambal lagi untuk tempahan syarikat sama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Kontena Produk Syilis Ke Arab Saudi di Siputeh, dekat sini, pada Selasa.
Majlis dirasmikan, Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed serta turut dihadiri Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Mohamad Rozlan Mohamad Razalli.
Shahrol Annaz berkata, pihaknya turut berbangga apabila apabila tempahan ulangan dibuat syarikat terbabit dalam masa kurang lima bulan, sedangkan bekalan awal dirancang untuk keperluan setahun.
Kata beliau, pasaran Arab Saudi dipilih sebagai sasaran utama syarikat kerana potensi dan kecenderungan pengguna yang tinggi terhadap produk halal dari Malaysia.
Pada masa sama beliau memberitahu, selain Arab Saudi, Syilis juga aktif Syilis turut mengembangkan pasaran ke Jepun, Brunei dan Singapura melalui pengedar dan kerjasama dengan restoran tempatan serta pasar raya tempatan.
“November nanti, kita akan bekerjasama dengan Universiti Aizu di Fukushima, Jepun sempena sambutan Hari Kantin Sedunia.
“Kami terlibat dengan Pavilion Malaysia bagi menjual produk makanan tempatan seperti nasi lemak, rendang, dan laksa menggunakan produk pes keluaran Syilis,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Salbiah berkata, kejayaan Syilis Food menembusi pasaran antarabangsa diharap dapat menjadi pencetus semangat kepada usahawan lain di Perak supaya berani untuk mengeksport dan memperkukuh jenama masing-masing.
“Ia perlu dicontohi pendekatan proaktif Syilis dalam penyediaan produk berkualiti tinggi, dokumentasi eksport yang lengkap, pematuhan piawaian antarabangsa dan strategi pasaran yang berkesan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: