KUALA LUMPUR – Reka bentuk penghadang jalan di laluan berisiko tinggi perlu dikaji semula bagi menepati piawatan keselamatan semasa.
Itu syor dikemukakan menerusi Laporan awal oleh Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengenai kemalangan melibatkan bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik pada 9 Jun lalu itu.
Menurutnya, hujung penghadang harus dilengkapkan dengan end terminal bertenaga serap.
Dalam masa yang sama, laporan itu berkata, papan tanda had laju, chevron dan amaran selekoh dalam jarak pandangan perlu mencukupi selain melaksanakan baiki atau ganti semua penandaan jalan yang pudar.
“Gunakan bahan retro-reflektif berintensiti tinggi untuk visibiliti waktu malam,” kata laporan yang dihasilkan oleh n Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan itu.
Selain itu, laporan turut menyebut keperluan untuk menilai pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di lokasi berisiko untuk memperkukuh pematuhan kelajuan.
Selain itu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) disarankan memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap amalan pemajakan
lesen secara tidak sah.
Katanya, ia boleh dilakukan menerusi pindaan syarat pelesenan termasuk perakuan integriti dan pengenalpastian jelas antara pemegang lesen, kenderaan dan pemandu perlu dilaksanakan.
“Pelaksanaan sistem penandaan badan kenderaan yang mewajibkan paparan nombor lesen pengendali secara kekal dan jelas pada kenderaan adalah dicadangkan bagi tujuan pengesahan pantas di lapangan,” jelasnya.
Sementara itu, MOT turut disarankan mewujudkan garis panduan rasmi yang membezakan antara subkontrak operasi yang sah dan pemajakan lesen dilarang.
Langkah tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dan manipulasi.
Bagi aspek teknologi dan pemantauan, kerajaan juga digesa mempercepatkan pelaksanaan sistem pemantauan bersepadu untuk semua kenderaan komersial bagi membolehkan pemantauan masa nyata terhadap tingkah laku pemanduan, kelajuan, lokasi, status lesen dan pematuhan terhadap syarat operasi.
“Pangkalan data pemandu bersepadu yang mengandungi rekod disiplin, lesen, latihan dan sejarah kemalangan juga perlu dibangunkan dan boleh diakses oleh agensi berkaitan serta pengendali sah,” kata laporan itu lagi.
Tambah laporan itu, kerajaan dalam masa yang sama wajar mempertimbangkan pengembalian kuasa penguatkuasaan industri pengangkutan awam darat kepada APAD atau menubuhkan semula agensi seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi menyelaraskan pelesenan dan penguatkuasaan secara bersepadu.
“Pertimbangkan penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) sebagai sebuah badan siasatan bebas dan berwibawa merangkumi semua mod pengangkutan bagi memastikan siasatan kemalangan dijalankan secara profesional, objektif dan berterusan.
“Langkah ini dapat menyumbang kepada pencegahan kemalangan serta penambahbaikan keselamatan pengangkutan secara holistik dan berterusan,” ujarnya.- MalaysiaGazette