IPOH – Situasi penyakit batuk kokol atau pertussis di Negeri Perak dilaporkan terkawal dengan hanya satu kes disahkan positif setakat Minggu Epidemiologi ke-29 tahun ini, berbanding 29 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan berkata, sepanjang tempoh 29 Disember tahun lalu hingga 19 Julai, sebanyak 41 notifikasi diterima bagi kes disyaki pertussis, namun hanya satu kes disahkan positif berdasarkan ujian makmal.
“Kes ini merupakan bayi lelaki berumur dua bulan yang baru sahaja menerima satu dos vaksin DTP (Difteria, Pertussis dan Tetanus ) sebelum bergejala.
“Kes telah diberikan rawatan antibiotik dan telah sembuh sepenuhnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.
Tambah Sivanesan, sebanyak empat kontak rapat bagi kes tersebut telah dikesan namun didapati negatif pertussis dan tiada kes kematian disebabkan gejala itu dilaporkan di Perak setakat ini.
Menurut beliau, perkembangan itu menunjukkan penurunan jumlah kes sebanyak 96.6 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu, di mana sebanyak 29 kes pertussis telah dikesan ketika itu.
Mengulas lanjut Sivanesan berkata, walaupun situasi pertussis masih terkawal, namun Jabatan Kesihatan Negeri Perak akan terus memantau tren penyakit itu dari semasa ke semasa.
“Keutamaan adalah untuk memastikan liputan pelalian pertussis dalam kalangan kanak-kanak adalah kekal melebihi 95 peratus untuk memastikan golongan ini dilindungi daripada mendapat jangkitan.
“Ini adalah kerana kanak-kanak terutamanya bayi adalah kumpulan yang rentan kepada jangkitan pertussis,” kata beliau.
Dalam pada itu Sivanesan mengingatkan agar ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka mendapat vaksinasi lengkap mengikut jadual yang ditetapkan bagi tempoh umur dua hingga 18 bulan.
“Pertussis merupakan penyakit berjangkit yang boleh membawa maut kepada bayi sekiranya tiada langkah pencegahan awal diambil,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Semua ibu hamil warga Malaysia akan terima vaksin Tdap secara percuma