IPOH – Lebih daripada 10 tok batin atau penghulu Orang Asli dari perkampungan di sekitar Daerah Kinta terlibat dalam Istiadat Tabal Mandi Balai Datuk Panglima Kinta di perkarangan kediaman rasmi Orang Besar Jajahan Kinta, dekat sini, pada Isnin.
Istiadat berkenaan merupakan sebahagian daripada Istiadat Pertabalan Datuk Panglima Kinta Ke-18, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan.
Kesemua mereka dari perkampungan Orang Asli di Gopeng dan Hulu Kinta itu hadir ke istiadat berkenaan dengan mengenakan pakaian Baju Melayu berwarna hitam lengkap bersampin dan songkok.
Pegawai Istiadat, Faizal Amin berkata, penglibatan masyarakat Orang Asli dalam upacara itu mencerminkan peranan penting mereka yang mempunyai pertalian darah dengan keturunan keluarga Datuk Panglima Kinta.
“Suatu masa dahulu, salah seorang Sultan Perak (Sultan Mansur Shah I) telah mengahwini wanita yang juga anak kepada seorang tok batin di Kuala Kinta sebagai isteri kedua.
“Hasil perkahwinan itu melahirkan keturunan sehingga ke Datuk Panglima Kinta masa kini. Oleh itu, para tok batin turut diraikan dalam istiadat ini sebagai tanda penghormatan kepada legasi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Tabal Mandi Balai Datuk Panglima Kinta di sini, pada Isnin.
Menurut Faizal, malah pada istiadat berlangsung, sebuah rakit kecil yang dihasilkan komuniti Orang Asli turut dibawa ke kediaman sebelum akan dihanyutkan ke Sungai Kinta pada hari terakhir istiadat pertabalan.
“Rakit yang diperbuat daripada buluh itu akan dihanyutkan ke Sungai Kinta berhampiran Gunung Cheroh kerana dipercayai sejarah Kinta bermula di situ,” katanya lagi.
Mengulas tentang Istiadat Tabal Mandi Balai, Faizal berkata, upacara bersiram berlangsung di atas balai setinggi tujuh anak tangga yang diberi nama ‘Panca Persada’.
Kata beliau, ia sebagai simbolik tujuh lapisan langit dan bumi, di samping sebagai signifikan kepada ayat dalam al-Quran yang menyebut tentang manusia sebagai khalifah di muka bumi.
“Selepas selesai upacara bersiram, Datuk Panglima Kinta akan dibawa ke Istiadat Merenjis dan Penyerahan Baur di dalam kediaman. Baur merupakan keris kuasa yang dikurniakan Sultan Perak bagi Orang Besar Negeri.
“Keesokan hari pula akan berlangsung upacara perarakan di sekitar Bandar Raya Ipoh, yang menjadi sebahagian daripada upacara istiadat pertabalan,” jelas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Istiadat ratusan tahun Datuk Panglima Kinta kembali diadakan