Lebih daripada 4,000 anggota tentera dari tiga negara terlibat dalam Serangan Akhir pada Majlis Penutup Eksesais KERIS STRIKE 2025 yang diadakan di FELDA Lawin di Lenggong, pada Selasa.
Penganjuran eksesais yang memasuki siri ke-30 itu melibatkan seramai 4,098 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), 233 anggota tentera Amerika Syarikat dan 151 anggota tentera Australia.
Malah ia turut membabitkan penyertaan pegawai penilai sebagai pemerhati dari tentera negara Thailand dan Jepun atau ‘Japanese Self-Defense Force’.
Eksesais KERIS STRIKE diadakan bertujuan memperkukuhkan kerjasama strategik, di samping meningkatkan keupayaan operasi serta kesiapsiagaan tempur antara ketiga-tiga negara.
Antara kelainan eksesais yang ditampilkan pada tahun ini ialah pelaksanaan latihan menembak sebenar di Segari, Lumut yang berlangsung pada Isnin.
Ia turut disaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. – MGPerak