IPOH – Polis menyiasat penyebaran video palsu dan berunsur fitnah serta mencemarkan nama baik Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah, yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan berhubung video palsu berkenaan telah dibuat oleh seorang lelaki berusia 43 tahun pada 24 Julai lalu.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati video itu mengandungi dakwaan kononnya terdapat upacara pertabalan pada 7 Ogos ini sedangkan dakwaan itu tidak benar.
“Tiada upacara pertabalan di mana-mana istana di Perak, malah tiada sebarang insentif RM800 kepada rakyat negeri ini seperti mana yang didakwa menerusi video berkenaan.
“Sehubungan itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video tersebut yang dikhuatiri boleh mengganggu siasatan dan menimbulkan kegusaran awam. – MG Perak
Artikel Berkaitan: