TAIPING – Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental yang dilaporkan hilang ketika menerima rawatan di Wad Psikiatri Hospital Taiping, di sini pada pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, lelaki tersebut dikenali sebagai Khairul Abu Bakar, 40, tinggal di sebuah pusat jagaan di sini.
Menurutnya, lelaki itu didapati hilang sewaktu menunggu giliran untuk bertemu doktor di hospital berkenaan.
“Lelaki yang berkulit kuning langsat dengan fizikal kurus, tinggi serta botak itu kali terakhir dilihat mengenakan baju T dan seluar jeans panjang berwarna kelabu sebelum dilaporkan hilang pagi ini,“ katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Katanya, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lokasi orang hilang tersebut boleh terus menghubungi Ketua Balai Polis Taiping, Inspektor Rizal Nari di talian 05-8291339 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping 09-8291222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi membantu siasatan dan mempercepatkan pencarian polis untuk mengesan lelaki terbabit,“ jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: