LARUT – Ladang Farm Fresh Perak di Pondok Tanjung, Selama yang mula dibangunkan pada 2020 merupakan antara fasiliti tenusu paling moden di Asia Tenggara dengan kapasiti pengeluaran 33,000 liter susu sehari.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad (Farm Fresh), Azmi Zainal berkata, mula beroperasi dan mengeluarkan hasil pada 2023, ladang berkeluasan 828 ekar itu kini menempatkan lebih 4,300 ekor lembu tenusu.
Menurut beliau, secara puratanya setiap seekor lembu berkenaan mampu menghasilkan sehingga 21 liter susu segar setiap hari.
“Secara keseluruhan pula, ladang ini mampu menghasilkan lebih 12 juta liter susu setahun, menjadikannya antara ladang tenusu terbesar dan paling produktif di negara ini.
“Kilang pemprosesan di sini pula menghasilkan susu segar yang dipastur, aiskrim dan mentega tempatan, semuanya dari hasil ladang ini sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Usahawan Tenusu MADANI “Memacu Revolusi Pertanian Moden, Menjana Ekonomi Rakyat” di Kompleks Tenusu Farm Fresh Perak, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Tambah Azmi berkata, Ladang Farm Fresh Perak turut menyediakan 150 peluang pekerjaan dengan 80 peratus tenaga kerjanya merupakan golongan muda berusia bawah 30 tahun.
“Ramai antara mereka mereka dahulu hanya bekerja kampung, kini menjadi pekerja di ladang lembu tenusu, bahagian pentadbiran, eksekutif kualiti, operator mesin, juruteknik makmal, malah supervisor pengeluaran.
“Mereka tidak perlu berhijrah ke bandar untuk mengejar cita-cita. Kami bawa cita-cita itu pulang ke kampung halaman mereka,” katanya.
Kompleks Tenusu Farm Fresh Perak merupakan bukti realisasi pelaburan langsung domestik yang diterajui oleh Farm Fresh hasil fasilitasi oleh Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) melalui program peningkatan teknologi dan pembangunan bakat yang dilaksanakan di Perak.
Di samping itu, ia turut menjana peluang keusahawanan kepada lebih 350 usahawan dan ejen pengedaran susu di negeri Perak dan hampir 1,200 orang di seluruh negara yang terdiri dari pada 80 peratus suri rumah tangga, termasuk dalam kalangan asnaf dan B40 melalui program Usahawan Kasih MADANI yang dilaksanakan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk). -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Industri tenusu di Perak berpotensi sumbang keterjaminan makanan negara