IPOH – Projek Ipoh Sentral dijangka bakal membuka ribuan peluang pekerjaan bukan sahaja untuk tenaga mahir, malah buat pekerja tempatan dalam pelbagai bidang yang menyokong kelancaran pembangunannya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setelah siap, Ipoh Sentral akan menjadi pemangkin ekonomi, menggerakkan sektor perkhidmatan, menyuburkan keusahawanan belia, serta mengukuhkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurutnya, usahawan tempatan, penggiat seni, pengusaha makanan dan peniaga kecil akan menerima limpahan manfaat daripada arus kemasukan pengunjung dan pengguna perkhidmatan pengangkutan di sini.
“Saya dan rakan-rakan dalam kerajaan negeri sepakat bahawa pembangunan ini mengutamakan pendekatan community-first.
“Tiada penempatan yang akan diganggu atau dipindahkan, sebaliknya projek ini akan membawa nilai tambah serta mengangkat taraf hidup penduduk setempat.
“Kawasan warisan, rumah ibadat dan tapak budaya akan terus dipelihara dengan wujudnya satu zon spiritual berbilang budaya yang unik.
“Tapak rumah ibadat sedia ada dan sekolah dikekalkan manakala sebuah masjid baharu akan dibina untuk memenuhi keperluan komuniti Islam yang semakin berkembang.
“Inilah citra Malaysia yang kita banggakan, kemajuan yang tidak mengorbankan keharmonian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di perkarangan Stesen Keretapi Ipoh, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Look Siew Fook.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, di tengah pembangunan tersebut akan terletak Sentral Square, sebuah dataran terbuka yang akan menjadi pentas seni, budaya dan festival.
“Di sinilah denyut nadi masyarakat bandar raya akan berinteraksi, berkarya dan meraikan kepelbagaian.
“Landskap hijau, laluan berbasikal, taman rekreasi, dan ruang awam yang dinaik taraf akan mewujudkan persekitaran bandar yang sihat, selamat dan mesra keluarga.
“Bagi pembangunan fasa pertama, kita akan membangunkan taman landskap berskala besar yang akan menjadi pusat pertemuan rakyat tempat keluarga beriadah, komuniti berinteraksi, dan anak muda beraktiviti.
“Ini adalah nadi awal yang akan menghidupkan Ipoh Sentral sebelum fasa-fasa seterusnya menyusul,” ujarnya.
Katanya, pembangunan Ipoh Sentral ini juga selari dengan teras MADANI iaitu kemampanan yang mengimbangi kemajuan fizikal dengan kelestarian alam.
“Di sini, bangunan moden bergabung harmoni dengan kawasan hijau, mempamerkan citra Malaysia yang unik dan maju, namun berakar pada nilai dan warisan,” ujarnya.
Pelaksanaan projek Ipoh Sentral dengan nilai pembangunan kasar RM6.2 bilion akan menjadi hub pengangkutan moden menghubungkan pelbagai mod perjalanan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sasar fasa pertama Ipoh Sentral siap dalam tempoh setahun – Anthony