KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kejayaan penahanan 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini adalah hasil siasatan bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Menurutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini diberikan ruang sepenuhnya untuk menjalankan siasatan secara telus tanpa sebarang usaha menutup kes atau kompromi terutama melibatkan keselamatan negara.
“Jika ditanya kenapa perkara ini hanya terbongkar sekarang, ia kerana SPRM kini mempunyai kebebasan untuk menyiasat. Itu perbezaannya.
“Kes-kes yang telah tertangguh sehingga ada yang mengaut keuntungan berbilion ringgit sedang disiasat dan jika ada kes, ia akan didakwa di mahkamah.
“Apabila ada kes besar, jangan sesekali cuba mempertahankannya,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anwar, sebarang penembusan terhadap institusi keselamatan dan pertahanan merupakan satu ancaman serius kepada negara.
Beliau memaklumkan, Panglima Angkatan Tentera telah diarahkan untuk menyiasat secara menyeluruh isu tersebut yang turut dibincangkan ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.
“Kita akan terus dedahkan lebih banyak lagi. Ini adalah isu keselamatan negara dan tidak boleh ada kompromi. Jangan politikkan perkara ini,” tegasnya.
Minggu lalu, seramai 10 individu ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan di kawasan selatan Semenanjung, membabitkan pelbagai barangan termasuk dadah, rokok dan barangan lain dari negara jiran dengan nilai mencecah RM5 juta sebulan.
Antara yang ditahan ialah lima pegawai kanan ATM, dua individu menyamar wartawan portal berita, seorang pengurus syarikat, seorang pembantu tadbir di Persatuan Perubatan Malaysia dan seorang wanita warga asing.
Difahamkan, pegawai risikan tentera yang ditahan dipercayai membocorkan maklumat operasi kepada sindiket untuk mengelak tindakan penguat kuasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau bukti berkaitan salah laku untuk tampil kepada pihak berkuasa.
Beliau merujuk kes serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli di Putrajaya pada 13 Ogos lalu serta kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, di Papar, Sabah pada 17 Julai.
“Kita tidak akan lindungi sesiapa. Tetapi jangan gunakan perkara ini sebagai senjata politik,” katanya menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN–Pasir Mas). – MalaysiaGazette