IPOH – Klinik Kesihatan Manjoi yang dibina dengan kos RM26.23 juta dijangka akan siap menjelang penghujung tahun ini, sekali gus memberi kelegaan kepada lebih 40,000 penduduk sekitar.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India Dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, projek berkenaan kini sudah mencapai lebih 83 peratus kemajuan.
Justeru katanya, pihak beliau yakin projek pembinaan klinik kesihatan setinggi lima tingkat itu dapat diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak sebelum hujung Disember tahun ini.
“Selepas beberapa kali diberi lanjutan masa (EOT), akhirnya kita sudah sampai ke tahap terakhir dan lawatan terkini mengesahkan kontraktor sedang mengikut jadual ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kami berpuas hati dengan perkembangan semasa, walaupun kelewatan ini memberi kesan kepada orang ramai yang terpaksa mendapatkan rawatan di klinik kesihatan sementara di Dewan Serbaguna Kampung Manjoi,”
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya memohon maaf atas kelewatan ini,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Klinik Kesihatan Manjoi, dekat sini, pada Selasa.
Sivanesan memberitahu, projek berkenaan pada awalnya diberikan kepada kontraktor pertama pada tahun 2018 dengan tarikh siap asal pada 2 Mac 2020.
Kata beliau, namun notis penamatan kontrak terhadap kontraktor berkenaan dikeluarkan pada 12 Februari 2020 atas faktor yang berkaitan dengan prestasi kerja.
“Projek berkenaan kemudian disambung semula pada September 2021 oleh kontraktor kedua dengan tarikh siap asal 14 September 2023.
“Bagaimanapun, atas sebab-sebab seperti pandemik COVID-19 dan beberapa isu teknikal termasuk perubahan reka bentuk struktur menyebabkan ia terus tertangguh,” jelasnya.
Tambah Sivanesan, premis baharu klinik berkenaan yang bertingkat juga akan mengurangkan kesesakan dan secara tidak langsung memberi keselesaan kepada penduduk yang akan menerima rawatan di situ.
Dalam pada itu, Sivanesan turut memaklumkan beberapa projek kesihatan lain di negeri ini turut berjalan lancar termasuk Hospital Parit Buntar dan Klinik Kesihatan Pangkor yang dijangka siap dalam masa terdekat.
“Selain itu, projek naik taraf Klinik Kesihatan Greentown juga dijangka siap tahun ini, manakala Hospital Seri Iskandar sudah pun beroperasi sepenuhnya.
“Ekoran daripada perkembangan ini, sistem kesihatan di Perak akan berfungsi dengan lebih efektif,” ujar beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: