IPOH – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri diarah memantau lokasi kejadian lemas yang meragut dua nyawa kanak-kanak di sebuah kolam tapak pembinaan berhampiran di Taman Chemor Ria di sini, Rabu lalu.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, pihaknya turut mengarahkan JKKP Negeri untuk menyediakan laporan lengkap berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, tindakan itu perlu bagi mengenal pasti punca serta pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian berkenaan.
“Saya akan minta JKKP untuk memantau ke tempat itu dan menyediakan satu laporan.
“Kita berbuat demikian untuk melihat di mana terletaknya kesalahan. Tetapi memang tak ada papan tanda larangan di sana dan itu adalah satu kesalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kesihatan Awam Memfokuskan Kepada Kesihatan Musculoskeletal anjuran Universiti Antarabangsa Quest (QIU) di Pasar raya Besar Mydin di sini pada Sabtu.
Hadir sama Pengarah Kesihatan Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha; Naib Canselor QIU, Profesor Zita Mohd Fahmi dan Dekan Fakulti Farmasi QIU, Profesor Datuk Dr Allan Mathews.
Katanya, kejadian seumpamanya bukan kali pertama berlaku.
“Ini bukan perkara pertama pernah berlaku. Kejadian seperti ini pernah berlaku di Cheras dan nasihat saya kepada ibu bapa supaya memantau anak mereka,” ujarnya.
“Jika ibu bapa kanak-kanak terbabit ingin mengambil tindakan polis akan siasat, tetapi ini bukan isu jenayah, ini adalah isu sivil.
“Mereka (ibu bapa) boleh melantik seorang peguam untuk mengambil tindakan terhadap tapak pembinaan,” jelasnya.
Sebelum ini media melaporkan, dua kanak-kanak lelaki ditemui lemas dalam sebuah kolam tadahan di kawasan tapak pembinaan di Lebuh Perindustrian Sin Yong Seng, Taman Chemor Ria di sini pada Rabu.
Mangsa, F Tinesh, 9, dan adiknya, F Denesh, 8, ditemui di dasar kolam tidak berpagar ketika bermain berhampiran kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dilaporkan berkata, kedua-dua mangsa dipercayai keluar bermain berhampiran rumah sewa mereka sebelum ditemui orang awam di dalam kolam berkenaan.
Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke HRPB untuk rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia pada jam 9.39 malam hari sama.
Tambahnya, pemeriksaan di lokasi mendapati kawasan tapak pembinaan itu tidak berpagar dan tiada papan tanda larangan dipamerkan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: