KULAI – Keputusan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) mengeluarkan arahan penutupan klinik gigi di Pontian selama 30 hari kerana mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik adalah terlalu berat.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching menyifatkan, ‘hukuman’ tersebut seakan tidak setimpal dengan kesalahan selepas perbuatan itu didapati tidak disengajakan.
“Perbuatan ini juga telah disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyatakan perbuatan tersebut bukan berniat mencabar kedaulatan negara.
“Saya bukan mahu mempertahankan perbuatan yang dilakukan premis itu, ia adalah perbuatan yang salah tetapi ia tidak disengajakan. Cuma, arahan penutupan premis selama 30 hari itu terlalu lama.
“Hukuman itu sepatutnya boleh dipertimbangkan. Bagaimana sekiranya kesilapan itu dilakukan oleh sebuah kilang yang mempunyai pekerja yang ramai. Tentunya ia memberi implkasi yang sangat buruk,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serahan Sumbangan Murid Cemerlang dan Pendidikan Pelajar di Dewan Terbuka Jalan Merbuk, Bandar Putra di sini, hari ini.
Khamis lalu, Yang Dipertua MPPn, Abdul Azim Shamsuddin mengesahkan pihaknya sudah menyerahkan notis penutupan kepada sebuah klinik yang didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik sehingga tular di media sosial.
Menurut Abdul Azim, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan MDP 2019, iaitu berhubung kewajipan pengibaran bendera.
Tindakan MPPn tersebut mendapat reaksi pelbagai daripada pelbagai pihak baik yang menyokong mahupun mengecam tindakan berkenaan.
Mengulas lanjut, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai turut berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut dapat mempertimbang hukuman yang lebih ringan.
“Ketika saya mengadakan program mengedar Jalur Gemilang, ramai orang yang meluahkan rasa bimbang kalau tersalah gantung bendera Malaysia. Ada juga yang berpendapat tak perlu gantung kerana tidak akan berdepan sebarang isu.
“Bagi saya, amat penting untuk kita menghormati Jalur Gemilang sebagai satu tanda cintakan negara, sepatutnya tidak timbul isu pasang bendera terbalik,” ujarnya.- MalaysiaGazette