IPOH – Lembaga Air Perak (LAP) menyalurkan hampir RM39 juta setahun menerusi subsidi dan rebat tarif air kepada rakyat di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah itu merangkumi pemberian 25 meter padu air percuma kepada golongan miskin serta 10 meter padu percuma kepada rumah ibadat dan institusi kebajikan.
Malah katanya, LAP turut memperkenalkan inisiatif rebat sebanyak RM4 bagi 10 meter padu pertama air setiap bulan untuk semua pengguna domestik.
“Angka ini melambangkan tekad Lembaga Air Perak untuk memastikan keseimbangan antara kelestarian kewangan dan kesejahteraan, suatu amanah yang sentiasa dijunjung dengan penuh rasa tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Perasmian ibu pejabat baharu LAP, Menara Air Perak, di Basco Avenue @ Kepayang, dekat sini, pada Isnin.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat dan menyempurnakan majlis berkenaan.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Tambah Saarani, meskipun berlaku pelarasan kadar tarif baharu air di beberapa negeri bermula Ogos, namun Perak masih mengekalkan kadar sama yang ditetapkan sejak Mei tahun lalu.
Dalam pada itu kata beliau, selain sebagai nadi pembangunan negeri dalam menyalurkan bekalan air bersih, LAP juga merupakan agensi yang merekodkan pembayar zakat korporat tertinggi di Perak sejak tahun 2007 dengan jumlah terkumpul lebih RM86 juta.
Saarani memberitahu, susulan daripada itu juga LAP telah berjaya menerima Anugerah Zakat Kebangsaan pada tahun 2023.
“Melalui rekod kejayaan ini, LAP terus mendukung aspirasi pembangunan negeri secara menyeluruh, seiring dengan pelan Perak Sejahtera 2030 dan Rancangan Struktur Negeri Perak 2040.
“Antara projek utama ialah Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Taman Industri Halal Perak (PERAK HIP) di Lekir dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.
“Bagi menyokong keperluan tersebut, LAP sedang menaik taraf beberapa Loji Rawatan Air seperti di Teluk Kepayang, Kampung Gajah dan Sungai Geliting,” tambah beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: