IPOH – Tiga mangsa iaitu pasangan suami isteri warga emas dan cucu maut dalam kejadian kebakaran pada sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Desa Tambun, di sini, awal pagi Ahad.
Mangsa yang maut ialah Raja Ahmad Raja Ali, 70, isteri, Zaitun Mohamed, 64, dan cucu mereka, Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun serta BBP Ipoh diatur gerak ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat dan kira-kira 70 peratus struktur rumah tersebut terbakar.
“Setibanya jentera bomba di lokasi, didapati berlaku kebakaran rumah dan terdapat mangsa yang terlibat.
“Seorang lelaki berusia 70 tahun ditemui di dalam bilik air di tingkat bawah, manakala dua lagi mangsa iaitu lelaki berusia 18 tahun dan wanita berusia 64 tahun ditemui di tingkat atas rumah,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
Sayani berkata, seorang lagi mangsa yang juga anak kepada pasangan warga emas maut yang berusia 47 tahun berjaya menyelamatkan diri selepas tidur di ruang parkir atau beranda luar rumah ketika kejadian.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, kesemua mangsa mempunyai pertalian keluarga dan rumah berkenaan dihuni enam orang.
“Walau bagaimanapun, ketika kejadian berlaku hanya empat penghuni berada di dalam rumah tersebut,” katanya lagi.
Menurut beliau, anggota bomba menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air yang disalurkan daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran bagi mengawal kebakaran.
“Anggota turut memotong kunci pintu rumah sebelah yang tidak berpenghuni bagi membolehkan kerja-kerja pemadaman dijalankan selain memasang tangga di bahagian hadapan rumah untuk mengawal kemerebakan api.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan kerja-kerja menyerahkan mangsa yang meninggal dunia kepada pihak Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dijalankan,” ujarnya lagi.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II TBK Rahimin Mohd Salleh dengan bantuan 25 anggota itu berjaya dikawal pada jam 4.45 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


