Mindef kaji semula beli jet pejuang terpakai dari Kuwait

PASIR GUDANG – Kementerian Pertahanan (Mindef) akan menghantar kumpulan untuk menilai keperluan membeli jet pejuang F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait yang sehingga kini masih tertangguh penghantarannya.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keadaan tersebut membolehkan Mindef mengkaji semula rancangan pembelian jet pejuang tersebut yang masih belum mempunyai kata putus bila akan menerimanya.

“Ketika ini kerajaan Kuwait sedang menunggu tarikh penyerahan pembelian jet pejuang baharu dari Amerika Syarikat (AS).

“Perkembangan terkini memaklumkan terdapat penangguhan penyerahan jet pejuang dari AS ke Kuwait dengan tarikhnya belum ditetapkan.

“Saya difahamkan jet pejuang yang Kuwait patut terima daripada AS ditangguhkan lagi. Tentunya kita tidak boleh tunggu tanpa kita tahu bila kita boleh dapat kerana Kuwait hanya boleh serahkan jet mereka kepada kita apabila mereka dapat jet baharu.

“Sehingga hari ini AS masih belum ada ketentuan, jadi sekarang kita berdepan isu, kerana kita tidak tahu berapa lama perlu tunggu. Jadi kita perlu ada ‘option’ lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Penyampaian Zakat Wakalah BH Petrol di Pasir Gudang di Dewan Terbuka Taman Air Biru di sini hari ini.

Pada 26 Ogos lalu, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Muhammad Norazlan Aris dilaporkan berkata, pihaknya sedang meneliti setiap aspek sebelum membuat keputusan muktamad rancangan pembelian jet pejuang F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait.

Beliau turut dilaporkan menolak dakwaan bahawa perjanjian itu telah dibatalkan, sambil menegaskan semua pertimbangan masih dalam proses penilaian ketika ini.

Sementara itu, Khaled memberitahu, pembelian 18 jet pejuang FA-50 daripada Korea Aerospace Industries (KAI) yang bakal diterima pada 2027 dijangka menampung keperluan pengoperasian Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Selain itu, kita juga akan melihat kemampuan jet pejuang Sukhoi yang dimiliki ketika ini sama ada ia mencukupi untuk keperluan pertahanan negara.

“Kajian terperinci perlu dibuat kerana bermula 2027, semua pesawat tempur ringan, Hawk 108 dan Hawk 208, akan ditamatkan perkhidmatan secara berfasa,” jelasnya lanjut.

Difahamkan, pesawat Hawk yang dibeli Malaysia pada 1994 telah berusia lebih 30 tahun.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI