Projek RTB Perak: Tiga lancar, satu lewat susulan isu tanah

IPOH – Sebanyak empat daripada 10 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Perak sedang dilaksanakan manakala bakinya berada di peringkat pra pelaksanaan dan sedang melalui proses reka bentuk serta perolehan.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, projek sedang dalam pelaksanaan adalah RTB Lembangan Sungai Beruas, RTB Sungai Trolak Daerah Muallim, RTB Sungai Bernam dan RTB Gerik, Hulu Perak.

Menurutnya, berdasarkan sistem MyProjek, tiga daripada projek ini berjalan mengikut jadual, manakala RTB Lembangan Sungai Beruas mengalami kelewatan.

“Kemajuan pelaksanaan projek tersebut hanya mencapai 19 peratus berbanding jadual asal iaitu 34 peratus.

“Kelewatan ini berpunca daripada pindaan terhadap keluasan kawasan pengambilan tanah yang memerlukan kerja penandaan semula oleh pihak jurukur.

“Selain itu, terdapat tiga lot tambahan yang sebelum ini dikategorikan sebagai tanah rizab sungai tetapi kini dikenal pasti mempunyai hak milik, justeru memerlukan proses pengambilan tanah yang baharu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Muhammad Faisal Abdul Rahman (PN-Trong) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Mohammad Nizar berkata, bagi RTB Sungai Kinta Fasa 2 dan RTB Teluk Intan Zon A Fasa 2, pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) dijangka akan dibuat pada Oktober tahun ini.

“Tiga lagi projek iaitu RTB Lenggong Fasa 1, RTB Kampung Gajah Fasa 2 di Daerah Perak Tengah serta RTB Samagagah masih berada di peringkat rekabentuk.

“Projek RTB Bagan Datuk pula ditangguhkan susulan pembatalan tender susulan bantahan daripada penduduk terhadap pengambilan tanah yang terlibat dalam pelaksanaan projek tersebut,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kelewatan pelaksanaan projek tidak ada kaitan dengan pemilihan lokasi projek RTB di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

“Pemilihan lokasi projek RTB di bawah RMK tidak mempunyai kaitan langsung dengan kelewatan pelaksanaan projek di sesuatu negeri.

“Sebaliknya, pemilihan lokasi dilaksanakan berdasarkan keutamaan kepada kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi serta menjadi tumpuan aktiviti ekonomi, bagi memastikan manfaat yang maksimum dapat dicapai,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Projek RTB di Gerik dijangka mula awal 2025 – Salbiah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI