KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus memperkukuh peranan kewangan Islam bagi memenuhi matlamat pembangunan mampan dalam usaha melahirkan generasi yang beretika.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia kerana seorang pemimpin dan penggerak industri perlu percaya pada nilai dan prinsip etika yang akan melaksanakan visi pada masa depan.
“Sumbangan rakan kongsi global yang terus memberikan galakan dan sokongan telah membuktikan kewangan Islam yang kukuh apabila ia dibangunkan berdasarkan kerjasama dan nilai hormat.
“Institusi kewangan kini dilihat sebagai sebahagian daripada rangka kerja ekonomi atau maqasih merangkumi belas kasihan, keterangkuman dan keadilan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) 2025 di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global yang disampaikan oleh Pengerusi Cambridge Institute of Islamic Finance, Humayon Dar.
GIFA adalah antara anugerah kewangan Islam yang paling berprestij di dunia dan badan itu sejak awal penubuhannya yang memberi pengiktirafan kepada beberapa ketua negara dan ketua kerajaan atas sokongan dan dukungan mereka kepada perbankan dan kewangan Islam melalui Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global.
Antara tokoh yang pernah dianugerahkan Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global oleh GIFA termasuk Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Indonesia Joko Widodo.
Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, penghargaan yang di diberikan itu merupakan pengiktirafan kepada usaha semua pihak yang telah memperkukuh institusi kewangan negara serta membina kerangka perbankan Islam.
Katanya, beliau hanya wakil untuk menerima bagi mereka yang telah menyumbang jasa dan berkhidmat lebih hebat s daripada apa yang mampu dilakukanya.
“Pengiktirafan ini juga memberi cabaran baharu dalam usaha mengangkat sistem kewangan Islam mengikut kerangka Maqasid Syariah.
“Ini yang disebutkan dengan soal keadilan dan kesamarataan bagi memberikan satu harapan baharu dengan kekuatan dan instrumen yang lebih lengkap dan komprehensif,” katanya.
Anwar menambah, penghargaan juga perlu didedikasikan kepada semua pihak termasuk akademia, ahli pemikir, aktivis dan pemain industri dalam membina rangka kewangan yang berdaya tahan di negara ini. – MalaysiaGazette