IPOH – Kerajaan Perak sentiasa memantau dan menjalankan penilaian di kawasan yang memerlukan pembinaan Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, meskipun Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengumumkan pembangunan projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di tiga Parlimen sebelum ini, ia belum mencukupi.
“Syukur dua tahun ini tiga projek PPR baharu telah diluluskan untuk Perak di mana kita telah mendapat kelulusan cuma hanya menunggu fasa untuk dilaksanakan pembinaannya melibatkan kawasan di Lenggong, Tambun dan Teluk Intan.
“Walaupun tiga PPR baharu yang diluluskan ini akan dibina Kerajaan Negeri juga dalam proses memantau dan menilai kawasan yang berkeperluan untuk kita memohon PPR baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin (PN-Sungai Manik) sewaktu Sesi Soalan-soalan Lisan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.
Beliau berkata, Kerajaan Perak sentiasa menerima permintaan untuk menyewa PPR di setiap daerah dalam negeri ini terutamanya di kawasan bandar utama.
“Memang kebanyakkan daerah kita mendapat permintaan untuk menyewa PPR kerana ia satu projek kerajaan yang menyediakan perumahan dengan kadar sewa begitu rendah.
“Pihak Kerajaan Negeri juga dari masa ke semasa mengumpul permintaan ini untuk kita kemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan dalam permohonan untuk melaksanakan PPR baharu,” katanya.
Menjawab soalan berkenaan cadangan menyewakan kuarters jabatan atau agensi kerajaan Sandrea berkata, Kerajaan Negeri sedia maklum dan sedang menilai kesesuaian pelaksanaannya.
“Isu kuarters ini pernah dibangkitkan dalam sidang dewan sebelum ini dan kita sedang menilai kesesuaian kuarters yang tidak digunakan untuk dijadikan kegunaan yang lain seperti perumahan.
“Cuma kita faham ia melibatkan agensi berkenaan dan juga hak milik dan kesesuaian kos untuk menukarkan kegunaan sekarang kepada perumahan,” katanya. -MG Perak