Fokus SAR Jaslinda antara Kem Sukaneka dan Gunung Rayu

TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih pada 23 Mei lalu difokuskan bermula simpang menuju Kem Sekali iaitu lokasi di antara Kem Sukaneka dan Gunung Rayu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, ini berdasarkan maklumat semasa dan garis masa perjalanan mangsa dan pasukan penyelamat sebelum ini.

“Misi menyelamat wanita itu diteruskan pagi tadi dengan penghantaran pasukan baharu seramai 12 orang ke Bukit Berapit 2, yang menggunakan pesawat AW139 bermula jam 9.15 pagi sehingga 11.30 pagi.

“Pasukan terbabit menggantikan pasukan sebelum ini yang membabitkan lapan anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan seorang Malim Gunung Perhutanan (MGP).

“Lima anggota STORM dan seorang MGP telah selamat keluar ke Kuala Woh pada jam 4 pagi selepas menghadapi kesukaran berdepan cuaca hujan lebat dan angin kuat di Bukit Berapit 2 pada malam tadi.

“Tiga lagi anggota STORM keluar dari hutan pada 9.30 pagi menggunakan pesawat AW139 dan diturunkan di Pos Kawalan Hadapan (PKH).

“Keseluruhannya, seramai lapan anggota STORM dan seorang MGP daripada pasukan penyelamat pertama yang masuk ke Gunung Batu Putih pada 25 Mei sudah selamat keluar pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Fokus SAR Jaslinda antara Kem Sukaneka dan Gunung Rayu
Penemuan jejak oleh pasukan penyelamat JBPM yang ditemui di laluan Kem Sukaneka menuju Gunung Rayu semalam. Foto JBPM Perak

Dalam pada itu, beliau memaklumkan setakat jam 6 petang tadi, pasukan SAR kedua yang memasuki kawasan operasi hari ini sudah sampai ke kawasan Kem Sukaneka secara berjalan menyusuri permatang gunung selama lima jam.

Sabarodzi berkata, pasukan penyelamat yang menangguhkan operasi jam 6 petang tadi akan bermalam di puncak gunung dan menyambung semula SAR pada jam 8 pagi esok.

Semalam, botol air, bungkusan gula-gula dan minuman suplemen dipercayai milik Jaslinda ditemukan pasukan SAR di laluan menuju Gunung Rayu.

Penemuan terbaharu itu menguatkan kemungkinan bahawa pendaki wanita tersebut tersasar ke arah Gunung Rayu ketika cuba turun dari Gunung Batu Putih.

Sebelum ini media melaporkan, Jaslinda bersama 13 lagi pendaki dan dua MGP menyertai pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei lalu menerusi laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti ditemani MGP.

Bagaimanapun, Jaslinda dilapor kemudiannya meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 7.30 pagi Ahad lalu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pendaki wanita dikhuatiri hilang di Gunung Batu Putih

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI