JPN rekod 1,868 tangkapan, salah guna MyKad – Shamsul

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,868 tangkapan dan pendakwaan direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi operasi penguatkuasaan bagi tempoh 2022 hingga September 2026 dalam usaha membanteras penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebanyak 4,174 operasi penguatkuasaan dilaksanakan JPN sepanjang tempoh berkenaan.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus diperkukuh melalui operasi siasatan dan kerjasama rentas agensi bagi memastikan dokumen pengenalan diri digunakan secara sah,” katanya pada sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen GPS-Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli yang menimbulkan isu penahanan 36 pekerja kilang warga asing di Pasir Gudang menerusi Op Jejak 1.0 kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu atau milik individu lain.

Lebih membimbangkan, kata Shafizan, terdapat dakwaan segelintir rakyat Malaysia sanggup menyerah atau menyewakan MyKad mereka kepada warga asing, majoritinya dari Indonesia dan Filipina, pada kadar serendah RM100.

Shamsul Anuar berkata, operasi berkenaan turut memberi perhatian kepada kemungkinan penglibatan pemilik MyKad asal yang disyaki menyewa atau menyerahkan dokumen pengenalan diri mereka kepada warga asing untuk tujuan pekerjaan.

“Operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Statistik JPN bagi tempoh 2020 hingga September 2026 turut merekodkan 1,191 kes di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPN 1990), manakala 669 kes direkodkan di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya.

Mengenai tindakan undang-undang, beliau berkata, individu yang memiliki atau menggunakan kad pengenalan palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 25(1)(i) PPN 1990, tertakluk kepada fakta kes dan elemen kesalahan yang dapat dibuktikan.

“Kegagalan membawa atau mengemukakan kad pengenalan ketika pemeriksaan pula boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 25(1)(n) peraturan sama sekiranya memenuhi elemen kesalahan yang ditetapkan.

“Hukuman bagi kesalahan berkaitan, mengikut peruntukan yang terpakai, boleh melibatkan penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan memperkenalkan MyKad generasi baharu yang dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri pada kad sedia ada bagi meningkatkan perlindungan terhadap pemalsuan dan manipulasi dokumen.

“Antara ciri keselamatan yang diperkenalkan termasuk hologram keselamatan dinamik, tingkap lutsinar, elemen ultraungu, tulisan mikro dan ukiran laser.

“Kad berkenaan turut dilengkapi kod QR bagi menyokong pengesahan dan penguatkuasaan, selain teknologi cip yang dipertingkatkan untuk memperkukuh pengesahan identiti,” jelasnya.

Menurutnya, kerajaan turut memberi penekanan kepada perlindungan data peribadi pemegang MyKad melalui kawalan keselamatan, prosedur operasi serta pematuhan kepada piawaian ISO/IEC 27001 bagi pengurusan keselamatan maklumat.

“Isu penyalahgunaan MyKad bukan sekadar bergantung pada kecanggihan ciri keselamatan fizikal atau teknologi cip.

“Sebaliknya ia turut memerlukan penguatkuasaan bersepadu terhadap pihak yang memalsukan, menggunakan atau menyerahkan dokumen pengenalan diri untuk tujuan yang menyalahi undang-undang.

“Ia bagi memastikan MyKad tidak disalahgunakan oleh warga asing untuk menyamar sebagai rakyat Malaysia, khususnya bagi mendapatkan pekerjaan atau kemudahan yang tertakluk kepada status kewarganegaraan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI