TELUK INTAN – Seorang pesara mengalami kerugian lebih daripada RM132,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan pertukaran mata wang asing atau ‘forex’ tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa yang berusia 73 tahun pada Isnin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan diperkenalkan kepada skim pelaburan berkenaan oleh seorang kenalan yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut mula menyertai skim pelaburan itu pada 4 Julai lalu.
“Akibat terpedaya dengan janji pulangan tinggi, warga emas itu membuat pelaburan secara berperingkat dalam tempoh kira-kira dua bulan sehingga keseluruhan wang yang dilaburkan mencecah RM132,590,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, sebahagian wang yang digunakan untuk pelaburan itu diperoleh daripada hasil jualan rumah milik mangsa.
Ujar Kok Lian, lelaki tersebut mula menyedari dirinya dipercayai ditipu apabila sistem pelaburan berkenaan tidak lagi dapat diakses pada 14 September lalu.
“Mangsa juga tidak menerima sebarang keuntungan atau pemulangan modal seperti yang dijanjikan,” katanya.
Chua berkata, justeru pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu yang terbabit dalam kegiatan penipuan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat, termasuk yang diperkenalkan oleh kenalan atau melalui media sosial dan platform dalam talian. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Polis tahan tiga individu, tumpas sindiket bekal telefon bimbit, kad sim pada ‘scammer’


