BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand menahan seorang lelaki warga Malaysia di Lapangan Terbang Suvarnabhumi kerana disyaki cuba menyeludup lebih 250 haiwan liar hidup ke India.
Dalam operasi bersama membabitkan Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan serta beberapa agensi penguatkuasaan pada 24 Mei, pegawai menahan suspek berusia 34 tahun itu kira-kira 3.45 pagi berhampiran pintu F3, Zon 3 terminal pelepasan antarabangsa lapangan terbang berkenaan.
Menurut pihak berkuasa Thailand, suspek dijadual menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok ke Lapangan Terbang Antarabangsa Netaji Subhas Chandra Bose di Kolkata, India.
“Hasil pemeriksaan terhadap bagasi daftar masuknya menemukan haiwan hidup yang disembunyikan di dalam sebuah beg beroda termasuk dua ekor enggang gading, dua ekor “Patagonia mara”, 62 ekor iguana, lima ekor biawak, 100 ekor mengkarung berlidah biru dan 80 ekor penyu air tawar,” menurut pihak berkuasa Thailand dalam kenyataan.
Pihak berkuasa berkata suspek didakwa mengikut Akta Pemeliharaan dan Perlindungan Hidupan Liar 2019, Akta Kastam 2017, Akta Wabak Haiwan 2015 dan Ordinan Diraja Perikanan 2015.
Dia kemudian diserahkan kepada penyiasat di Balai Polis Lapangan Terbang Suvarnabhumi untuk tindakan undang-undang lanjut.
Haiwan yang dirampas kebanyakannya masih hidup, telah diserahkan kepada pihak berkuasa hidupan liar dan perikanan untuk penjagaan, pengenalpastian spesies serta dijadikan bahan bukti dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Pihak berkuasa turut memperluas siasatan bagi mengenal pasti individu lain yang mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan itu. – BERNAMA


