KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) berhubung isu pemansuhan sistem matrikulasi tidak mengandungi sebarang unsur jenayah dan tidak wajar disiasat.
Peguam, Zaid Malek berkata, isu berkenaan adalah kepentingan awam yang berkait dengan dasar pendidikan dan pembangunan negara serta merupakan hak kebebasan bersuara.
“Siasatan ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia jelas satu bentuk kebebasan bersuara.
“Mereka berhak untuk bersuara, siapa lagi kalau bukan warga Malaysia? Adakah hanya pihak berkuasa sahaja boleh bercakap?
“Sedangkan kelompok seperti UMNO bebas mengkritik sistem vernakular tanpa diganggu dengan apa-apa siasatan. Jelas, tindakan ini menunjukkan wujudnya pilih kasih, “ jelasnya.
Terdahulu, Presiden UMANY, Tang Yi Zhe hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkenaan untuk memberi keterangan selepas dipanggil pihak polis.
Beliau disoal selama kira-kira 50 minit dan menjawab 19 soalan yang diajukan pegawai penyiasat.
“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berkisar kepada kenyataan yang dikeluarkan UMANY berhubung isu matrikulasi.
“Ia termasuk memorandum yang dihantar kepada Kementerian Pengajian Tinggi pada 12 September lalu,” katanya.
Mengulas lanjut, Zaid berkata, isu pendidikan adalah isu umum yang sepatutnya terbuka untuk dibincangkan.
Beliau menegaskan, hak untuk bersuara adalah hak asasi rakyat yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan tidak seharusnya disekat.
“Seolah-olah semua perkara tidak boleh diperkatakan. Isu matrikulasi juga tidak boleh disentuh, sedangkan ia melibatkan dasar.
“Daripada apa yang saya faham, kenyataan UMANY itu hanyalah cadangan untuk kebaikan sosioekonomi dan politik semua pihak. Sama ada setuju atau tidak, itu soal lain. Adakah ia jenayah? Tidak.
“Jika setiap kali rakyat bersuara mereka dipanggil polis, ia hanyalah bentuk intimidasi yang mengekang hak bersuara secara sah,” katanya.
Pada 12 September lalu, media melaporkan UMANY telah menghantar memorandum kepada Kementerian Pendidikan Tinggi yang menggariskan cadangan itu sebagai cara paling berkesan untuk menangani isu berkaitan kuota kemasukan ke universiti.
Memorandum tersebut dihantar sebagai respons kepada laporan media mengenai pelajar lepasan STPM, Edward Wong, yang memperoleh CGPA 4.0 dalam peperiksaan itu dan bercita-cita untuk menjadi seorang akauntan, namun ditolak oleh enam universiti awam. – MalaysiaGazette