IPOH – Program Budi Madani RON95 (BUDI95) merupakan langkah awal kerajaan dalam melaksanakan penyasaran semula subsidi bahan api secara berperingkat sebelum mencapai matlamat asal yang dikehendaki oleh kerajaan.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, ia bertujuan memastikan transisi berkenaan berlaku dengan lebih teratur tanpa menimbulkan banyak masalah teknikal serta memberi kesan kepada rakyat.
Menurut beliau, peringkat pertama proses BUDI95 bermula dengan semua rakyat Malaysia yang mempunyai kad pengenalan serta lesen memandu layak menerima subsidi itu manakala warga asing tidak layak.
“Perdana Menteri telah umumkan lebih awal bahawa penurunan harga minyak akan dilaksanakan selaras dengan usaha menyasar semula subsidi dan proses ini tidak boleh dibuat sekaligus, perlu ambil kira cabaran pelaksanaan dan tindak balas masyarakat.
“Sebab itu kerajaan mulakan dengan fasa pertama iaitu semua rakyat Malaysia yang memiliki kad pengenalan dan lesen memandu sah layak menerima harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
“Jadi yang pertama kita kecualikan siapa? Warga asing dan kita akan lihat bagaimana ia berjalan dari situ,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Rangkaian Pusat Pencerapan Kesihatan Komuniti SDG (MASCHON) Peringkat Parlimen Tambun bersama Persatuan Kanser Nasional Malaysia (NCSM) di Dewan NCSM-Caritas, Kampung Simee di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Pengerusi NCSM, Prof Dr Muralitharan Munisamy.
Muhammad Kamil berkata, mekanisme itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa berdasarkan hasil pemantauan kerajaan.
“Selepas ini, mungkin kumpulan tertentu seperti T15 tidak lagi termasuk dalam senarai penerima subsidi. Proses ini mesti dibuat secara tersusun supaya tidak wujud banyak kekangan atau masalah dalam pelaksanaanya.
“Kita nak pastikan proses ini berjalan dengan baik. Dasar ini dapat mencapai hasrat dan juga matlamat seperti yang dihendaki oleh kerajaan,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
BUDI95: Sistem JPN, MOF diintegrasikan bersama elak penyelewengan Bantuan SARA berulang