PUTRAJAYA – Keputusan kerajaan untuk menaikkan had maksimum pembelian RON95 yang ditetapkan dalam inisiatif BUDI95 daripada 250 liter kepada 300 liter sehari diambil selepas perbincangan mendalam.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah itu bagi memastikan tiada kumpulan kecil pengguna tercicir daripada skim bantuan tersebut.
Anwar turut menjelaskan, keputusan dibuat berdasarkan rekod pembelian RON95 rakyat Malaysia yang majoritinya tidak melebihi paras berkenaan.
“Sebenarnya keputusan kerajaan kita terbukakan maksimum 250 liter, kerana yang lebih 250 liter, jumlah sangat kecil.
“Ini kita sudah rekod, betul-betul tetapi bila dibincangkan di Kabinet kalau ada dua tiga peratus (melepasi 250 liter) pun kita lepaskan, supaya tidak tidak jadi isu itu yang kita (kerajaan) naikkan 300 liter,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapan sempena perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Hadir sama adalah Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan (MOF), Datuk Johan Mahmood Merican.
Menurut Anwar, kajian menunjukkan hanya 98 peratus rakyat Malaysia menggunakan sekitar 220 liter RON95 sebulan manakala cadangan awal menetapkan had 250 liter sebagai paras maksima.
Namun selepas mengambil kira maklum balas, kerajaan bersetuju menambah lagi 50 liter RON95 sebulan.
“Kumpulan kecil di mana penggunaan 300 liter ini adalah kumpulan kecil, itu pun kita tangani. Jadi nak elak masalah yang timbul ketika kita perkenalkan di awal pelaksanaan SARA (Sumbangan Asas Rahmah),” katanya lagi.
Dalam pada itu, Anwar berkata, sistem yang digunapakai oleh BUDI95 adalah 10 kali ganda lebih baik daripada yang digunakan dalam SARA.
“Server baharu ini mampu memproses lebih 30,000 transaksi seminit berbanding hanya 3,000 transaksi seminit di SARA sebelum ini,” katanya.
Pada Isnin lalu, Anwar mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan.
Pelaksanaan inisiatif itu dibuat di bawah program BUDI95, sementara bagi bukan warga negara pula, harga RON95 adalah pada RM2.60 bermula tarikh yang sama.
Melalui BUDI95, semua rakyat Malaysia layak menikmati harga bersubsidi sehingga 300 liter sebulan, manakala pemandu e-hailing diberi kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan.
Dengan pemansuhan subsidi pukal, Kerajaan MADANI mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun.
Penjimatan itu akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). – MalaysiaGazette