IPOH – Polis menahan seorang lagi suspek berhubung kes seorang lelaki berusia 43 tahun yang dipercayai tertembak ketika aktiviti memburu di Batu Caves, Selangor, sebelum mayatnya ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Selamat, Semanggol pada Isnin lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek lelaki berusia 50 tahun itu ditahan sekitar jam 4.30 petang pada Selasa lalu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dan sebuah telefon bimbit turut dirampas.
Menurutnya, jumlah itu menjadikan kesemua empat suspek yang terlibat dalam kejadian itu telah berjaya ditahan polis.
“Hasil semakan mendapati suspek tiada rekod kesalahan lampau namun mendapati suspek positif dadah.
“Suspek terbabit telah ditahan reman selama tujuh hari mulai semalam hingga 7 Oktober ini bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Polis Kontinjen Perak 2025 di Mes Pegawai Kanan Polis, di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan hasil semakan rekod terhadap tiga orang suspek yang telah ditahan pada Isnin lalu mendapati dua daripadanya mempunyai kesalahan lampau berkaitan narkotik dan jenayah serta positif dadah.
“Tiga orang suspek yang didapati positif dadah turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Αkta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Noor Hisam berkata, keputusan bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Taiping semalam mendapati kematian mangsa berpunca daripada luka akibat tembakan di dada.
Sebelum itu media melaporkan, salah seorang daripada empat suspek terbabit telah tertembak mangsa kerana menyangka mangsa adalah haiwan buruan semasa memburu di Batu Caves, Selangor pada Ahad lalu kira-kira jam 8 malam bersama-sama dua orang lelaki lain.
Selepas kejadian itu, mereka sepakat untuk membawa mangsa ke Semanggol dengan sebuah kenderaan dan diiringi dua buah kenderaan lain.
Mangsa telah ditinggalkan di tepi jalan tidak berturap bagi mencipta jalan cerita yang lain daripada kejadian sebenar.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Disangka haiwan buruan, lelaki maut ditembak, tiga suspek ditahan