Perak rekod lebih 60 premis aktif jual vape

IPOH – Lebih daripada 60 premis menjual rokok elektronik atau vape direkodkan masih beroperasi dengan lesen sah yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Perak setakat ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, selepas Polisi Larangan Lesen Penjualan Vape berkuat kuasa 1 Januari 2026 nanti, kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan sebarang lesen baharu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching pada sidang media ketika mengadakan lawatan ke Program Publisiti & Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Pengubahan) di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 OKTOBER 2025.

Katanya, sekiranya terdapat premis yang masih menjual vape selepas daripada tarikh berkenaan, pegawai penguatkuasaan PBT boleh mengambil tindakan di bawah peruntukan atau peraturan berkaitan.

“Selama ini pun, penguatkuasaan berkaitan penjualan produk vape tanpa lesen turut dipantau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

“Selepas larangan dikuatkuasakan, JKN akan bekerjasama dengan agensi kerajaan lain termasuk PBT bagi memastikan tiada lagi penjualan berlaku di premis perniagaan.

“Prinsipnya mudah, apabila tiada lagi lesen dikeluarkan, maka tidak sepatutnya ada premis yang menjual vape selepas tarikh 1 Januari 2026,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja meninjau Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Pengubahan) di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.

Larangan lesen vape Perak 2026 PBT Perak premis vape Perak, lesen jualan vape, larangan vape Malaysia, Sandrea Ng Shy Ching, polisi vape 2026, kesihatan rakyat Perak
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching mengadakan lawatan ke Program Publisiti & Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Pengubahan) di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 OKTOBER 2025.

Pada Rabu media melaporkan Kerajaan Negeri Perak meluluskan Polisi Larangan Lesen Penjualan Rokok Elektronik atau Vape berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Komuniti India dan Perpaduan Nasional Negeri Perak, A Sivanesan dilaporkan berkata, keputusan itu dicapai hasil Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Kata beliau, larangan tersebut dilaksanakan bagi mencegah risiko ketagihan nikotin dan kesan buruk bahan kimia yang terdapat dalam rokok elektronik, selain langkah tegas melindungi kesihatan rakyat, khususnya generasi muda.

Mengulas lanjut Sandrea berkata, keputusan kerajaan negeri itu turut mengambil kira pelbagai faktor termasuk keadilan kepada peniaga vape yang sebelum ini telah memohon lesen secara sah.

Menurut beliau, pelaksanaan bermula pada 1 Januari 2026 diputuskan bagi memberi ruang masa yang munasabah kepada pengusaha untuk menguruskan perubahan operasi, termasuk menukar bentuk perniagaan kepada sektor lain.

“Kita sedar ada peniaga yang memperoleh lesen dengan cara sah sebelum ini. Justeru, kerajaan negeri mengambil kira perkara tersebut dengan menetapkan tarikh kuat kuasa larangan yang memberi mereka masa membuat persediaan.

“Selepas tarikh 1 Januari nanti, tiada lagi ruang untuk sebarang aktiviti penjualan vape di premis berlesen di Perak,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak kuat kuasa larang lesen vape 1 Januari 2026

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI