KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan dua perkhidmatan ETS tambahan setiap hari bermula 17 Oktober hingga 22 Oktober 2025 bagi laluan Padang Besar – KL Sentral dan sebaliknya sempena sambutan perayaan Deepavali tidak lama lagi.
Perkhidmatan tren tambahan yang akan beroperasi selama enam hari ini, bertujuan bagi memenuhi permintaan penumpang yang dijangka meningkat pada sambutan perayaan Deepavali.
Menurutnya, penjualan tiket tambahan tersebut akan bermula pada 7 Oktober 2025 (Selasa) mulai jam 10 pagi.
Tren tambahan ini menawarkan sebanyak 630 tempat duduk sehari, menjadikan jumlah keseluruhan tempat duduk sebanyak 3,780 ditawarkan, termasuk koc kelas perniagaan.
Penumpang disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang rasmi KTMB dan membuat pembayaran menggunakan KTM wallet bagi mempercepatkan proses pembelian tiket.
Selain itu, mereka juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksi yang lebih menjimatkan serta mengelakkan pembelian pada saat akhir.
Para pengguna juga diingatkan untuk tiba 30 minit lebih awal di stesen, kerana pintu masuk akan ditutup lima minit sebelum tren berlepas.
Tambahan perkhidmatan ini bertujuan untuk menampung permintaan yang tinggi semasa musim perayaan, sekaligus membantu mengurangkan kesesakan trafik bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman. – MalaysiaGazette