IPOH – Dua pelajar sekolah maut manakala seorang lagi, parah selepas motosikal yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Taman Perpaduan Ria, Tambun, di sini pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 7.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun digerakkan ke lokasi.
“Kemalangan membabitkan tiga pelajar perempuan yang menaiki motosikal jenis Yamaha EZ115 dengan sebuah kereta jenis Proton Saga.
“Kesemua mangsa tidak tersepit dan dua daripada mereka disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
“Seorang lagi mangsa mengalami kecederaan parah dan berada dalam keadaan separa sedar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS) memberikan rawatan awal kepada mangsa cedera yang berusia 12 tahun dengan memasang cervical collar sebelum mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Dua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.33 pagi,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Warga emas maut selepas motosikal bergesel dengan kereta


