Op Tapis Khas: 372 individu termasuk 33 warga asing ditahan

IPOH – Polis menahan 372 individu termasuk 33 warga asing atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah menerusi Op Tapis Khas Kontinjen Perak yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri ini bermula 23 hingga 25 November lalu.

Operasi selama tiga hari itu dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) daerah, balai-balai polis serta Pasukan Gerakan Marin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, seramai 248 pegawai dan anggota polis, terdiri daripada 25 pegawai kanan dan 223 pegawai rendah polis terlibat dalam operasi tersebut.

Menurutnya, operasi itu memberi tumpuan kepada usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah, khususnya di lokasi yang dikenal pasti menjadi sarang penagihan dadah.

“Antara lokasi sasaran termasuk kawasan skim FELDA, FELCRA, ladang swasta, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), rumah pangsa, jeti nelayan serta beberapa lokasi lain yang dikenal pasti.

“Daripada keseluruhan tangkapan, seramai 356 individu adalah lelaki manakala 16 lagi perempuan berusia antara 14 hingga 70 tahun melibatkan 339 warga tempatan serta 33 warga asing terdiri daripada 13 warga Indonesia, Thailand (14), Myanmar (lima) dan Vietnam (seorang),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Op Tapis Khas: 372 individu termasuk 33 warga asing ditahan
Antara dadah yang dirampas dalam Op Tapis Khas Kontinjen Perak yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri ini bermula 23 hingga 25 November lalu.

Mohd Alwi berkata, seramai 66 individu ditahan atas kesalahan mengedar dadah, 206 individu kerana memiliki dadah, manakala 100 lagi penagih disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Selain itu, polis turut menahan tiga individu yang dikategorikan sebagai orang dikehendaki serta turut mengenal pasti dua penagih dadah tegar yang bakal dikenakan tindakan mengikut Seksyen 39C akta sama,” ujarnya.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai jenis dadah merangkumi 212.98 gram heroin, syabu (251.95 gram), Ganja (288.61 gram), ketamin (17.74 gram), pil Erimin 5 (7.46 gram), daun ketum (2.3 kilogram), cecair ketum (126.10 liter) dan kodien (0.18 liter) yang dianggarkan bernilai RM49,648.30.

“Polis turut menyita sebuah kenderaan serta wang tunai dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM4,700,” katanya.

Mohd Alwi berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dan agensi penguatkuasaan, khususnya PDRM.

“Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan,” ujarnya. – MG Perak

Artikel berkaitan:

Warga Singapura bawa 19 kg dadah di LTSAS berdepan hukuman mati

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI