PARIT – Penganjuran Pesta Cempakasari 2025 bukan sekadar mengembalikan nostalgia warga Parit terhadap pulau ikonik itu, malah menjadi platform bagi memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, pesta yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu berjaya menarik kira-kira 2,000 pengunjung terdiri daripada penduduk setempat.
Menurutnya, Pesta Cempakasari bukan sahaja mengimbau kenangan masyarakat sekitar era 1980-an, tetapi turut mengangkat semangat kebersamaan selaras dengan hasrat kerajaan negeri menerusi agenda Perak Sejahtera 2030.
Tambahnya, penganjuran program ini bukan sekadar acara hiburan semata-mata, sebaliknya turut memberi nilai tambah kepada masyarakat setempat melalui penyertaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
“Acara bermula dari 3 Oktober hingga hari ini melibatkan kanak-kanak, dewasa, belia, dan juga warga emas kerana kita mahu jadikan Pesta Cempakasari salah satu kaedah untuk kita merapatkan hubungan silaturahim dengan masyarakat di Parit.
“Di samping itu, kita juga memberi ruang dan peluang kepada jabatan serta agensi kerajaan untuk memberi informasi terkini dan maklumat yang bersesuaian dengan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Pesta Cempakasari 2025 di Pulau Cempakasari, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT), Zairina Nordin; Pegawai Daerah Perak Tengah, Mohd Zaki Bin Abdul Rahman dan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohd Hafezul Helmi Hamzah.
Katanya, penganjuran pesta ini mencerminkan semangat perpaduan antara kepimpinan masyarakat, jabatan kerajaan dan rakyat setempat yang perlu bergerak seiring bagi merealisasikan hasrat Perak Sejahtera 2030 dari aspek ekonomi, sosial dan politik.
“Di samping itu, ini juga adalah salah satu platform untuk kita lihatkan hubungan kerjasama kebersamaan antara kepimpinan masyarakat, agensi dan jabatan kerajaan dan serta masyarakat setempat kerana ketiga-tiga elemen ini perlu seiring supaya impian pelan Perak Sejahtera 2030 dapat diterjemahkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khairudin berkata, pesta kali ini turut diserikan dengan kenduri rakyat yang diuruskan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja sebagai simbol semangat gotong-royong masyarakat setempat.
“Uniknya kali ini, kita ada kenduri rakyat yang diuruskan oleh JPKK Dun Belanja yang mula memasak dari petang semalam hingga ke hari ini.
“Menerusi rewang yang diadakan, kita dapat lihat kemesraan, keakraban antara masyarakat dan juga kepimpinan serta jabatan amat terserlah,” ujarnya.
Pesta Cempakasari adalah program tahunan yang dianjurkan MDPT, Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah serta beberapa agensi lain dengan sokongan Tourism Perak, menjadikannya satu acara utama dalam kalendar pelancongan negeri.
Antara acara yang diadakan termasuklah, pertandingan tarik tali, panjat tiang licin, sukan rakyat, pertandingan mewarna dan gubahan, perhimpunan rebana, retro fun walk, explorace, tangkap itik, sepak raga ratus, dam aji, congkak dan batu Seremban. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan Perak hulur sumbangan kepada keluarga pelajar maut ragbi SBP