Sindiran Teng serlahkan kebodohan politik, hilangnya adab pemimpin – Nabil

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk membidas kenyataan biadab Datuk Teng Chang Khim yang menyindir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu hidangan arak.

Ketuanya, Muhammad Nabil Saleh berkata, kenyataan bekas Exco Selangor itu bukan sekadar tidak matang, bahkan angkuh dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam serta kedudukan seorang pemimpin negara.

“Sindiran seperti yang minum tak mabuk, yang tak minum mabuk, jelas menunjukkan kebodohan politik dan hilangnya adab seorang yang kononnya bergelar pemimpin.

“Isu arak bukan bahan gurauan atau sindiran politik murahan. Ini soal maruah dan pegangan agama.

“Bila seorang pemimpin boleh bersenda tentang perkara jelas haram di sisi Islam, ia memperlihatkan betapa ceteknya kefahaman beliau terhadap nilai hidup bermasyarakat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu, Chang Khim yang juga bekas Speaker dan Exco Selangor dalam hantaran di akaun Facebooknya berkata, bisa berlaku di Malaysia sahaja, yang minum tak mabuk, yang tak minum mabuk.

“Ini adalah satu lagi kejadian berulang hanya berlaku di Malaysia di mana mereka yang minum dalam keadaan sedar, tetapi yang tidak, mabuk,” kata Chang Khim.

Menurut Nabil, pemimpin DAP itu diingatkan tidak mencabar kesabaran anak muda UMNO.

“Kami boleh berbeza pandangan, tapi kami tidak akan berdiam diri apabila pemimpin kami dihina, agama kami dipermainkan dan maruah bangsa kami dijadikan bahan ketawa,” katanya.

Nabil berkata, jika Chang Khim fikir sindiran sebegitu akan menaikkan saham politiknya, sebenarnya bekas wakil rakyat DAP itu silap besar.

“Rakyat semakin muak dengan politik mulut longkang yang hanya tahu menghina orang lain tanpa menyumbang apa-apa idea membina.

“Politik bukan lesen untuk menjadi biadab. Jangan lupa kesabaran orang muda ada batasnya. Bila maruah pemimpin dan agama dihina, kami tidak akan berdiam diri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI