IPOH – Akibat tertekan pedal minyak, kereta dipandu seorang pelajar perempuan gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh cermin kafe sebuah universiti swasta di Jalan Raja Permaisuri Bainun di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian sekitar jam 3.37 petang itu dpercayai berlaku ketika pelajar berusia 19 tahun itu hendak memindahkan kereta jenis Perodua Myvi dipandunya ke tempat parkir di kawasan lain.
“Hasil siasatan mendapati, ketika pelajar terbabit masuk ke dalam kereta, dia secara tidak sengaja memijak pedal minyak sehingga menyebabkan kenderaan tersebut bergerak ke hadapan dan melanggar cermin kafe di universiti berkenaan.
“Kerosakan dianggarkan lebih kurang RM7,500 dan tiada yang cedera dalam insiden tersebut,“ katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau berkata, kemalangan itu turut mengakibat beberapa bahagian hadapan dan kenderaan itu rosak.
“Kita telah merakam percakapan pelajar terbabit dan saman dikeluarkan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: