Putin tak hadir di Sidang Kemuncak ASEAN Ke- 47

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan Presiden Rusia, Vladmir Putin tidak akan hadir di Sidang Kemuncak ASEAN ke – 47 di Kuala Lumpur hujung bulan ini.

Menurut Anwar, Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexander Novak akan mewakili Putin pada sidang kemuncak tersebut.

“Putin mengesahkan bahawa beliau tidak akan hadir. Beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk hadir pada tahun berikutnya,” katanya.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan kehadiran Putin selepas beliau sebelum ini memaklumkan kepada Anwar bahawa beliau sedang ‘mempertimbangkan secara serius’ untuk hadir ke perhimpunan serantau tersebut.

Sidang kemuncak tiga hari itu, yang dijadualkan 26 hingga 28 Oktober bakal menjadi perhimpunan terbesar pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan ketua-ketua negara ASEAN.

Anwar turut mengesahkan Presiden Sementara Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing tidak akan hadir sambil menegaskan komitmen ASEAN terhadap Konsensus Lima Perkara bagi menyelesaikan krisis politik di negara itu.

Di samping itu, Anwar memuji Jepun atas peranan proaktifnya dalam usaha membina semula Gaza selepas gencatan senjata baru-baru ini menerusi kerangka Kerjasama Negara-Negara Asia Timur bagi Pembangunan Palestin (CEAPAD).

“Saya berharap dapat berbincang dengan Perdana Menteri baru Jepun, Sanae Takaichi memandangkan inisiatif ini dimulakan oleh bekas Perdana Menteri (Shigeru) Ishiba dan kita bersetuju untuk melaksanakannya bersama,” katanya.

Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap kesungguhan Jepun membantu dalam usaha kemanusiaan tersebut.

“Ini satu langkah yang wajar dihormati kerana Jepun benar-benar serius membantu dalam pembinaan semula Gaza,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan isu penipuan dalam talian rentas sempadan turut akan menjadi agenda utama sidang kemuncak kali ini, dengan ASEAN berusaha memperkukuh tindakan bersama serantau bagi mengekang ancaman jenayah tersebut.

“Isu ini telah dibangkitkan dalam mesyuarat dua hala dan serantau dan akan dibincangkan semula kerana ia menjejaskan kestabilan, ekonomi serta kesejahteraan rantau ini,” tambahnya.

Anwar dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin dunia sepanjang sidang kemuncak itu bagi membincangkan isu perdagangan, keselamatan serantau dan kerjasama kemanusiaan. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI