Rakyat diseru nyalakan semula ‘pelita’ keinsafan dan kemanusiaan – Saarani

IPOH – Dalam dunia yang semakin disinari kemajuan teknologi dan kemodenan, nilai serta akhlak manusia pula dilihat semakin pudar sehingga melemahkan kekuatan jiwa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, masyarakat kini berdepan dengan pelbagai cabaran moral apabila insiden jenayah kekerasan yang menamatkan nyawa tanpa belas kasihan semakin kerap berlaku.

Menurutnya, golongan muda pula dilihat semakin hilang arah sehingga mencemarkan institusi pendidikan dengan tingkah laku yang membimbangkan.

“Kita melihat masyarakat yang kian hilang rasa peduli, tidak lagi menghulur tangan kepada yang susah, tidak lagi menegur dengan hikmah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak 2025 di Stadium Indera Mulia, di sini pada Ahad.

Rakyat diseru nyalakan semula ‘pelita’ keinsafan dan kemanusiaan – Saarani
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Deepavali Tahun 2025 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan di Stadium Indera Mulia, Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 OKTOBER 2025.

Dalam pada itu, Saarani turut menzahirkan kebimbangan terhadap sikap masyarakat yang semakin terbiasa melihat penderitaan tanpa simpati dan mendengar berita duka tanpa empati.

“Hati manusia kian beku dalam kesibukan duniawi, kebaikan dianggap lemah, manakala kejujuran pula sering dipersenda.

“Lebih menyedihkan apabila fitnah dan kebencian kini menular pantas dari hujung jari hingga membakar kepercayaan serta memisahkan hati manusia yang dahulunya bersatu padu.

“Jika keadaan ini berlarutan, maka cahaya yang pudar dalam jiwa rakyat akan memadamkan sinar sebuah negara bangsa.

“Kekuatan sesebuah negeri dan negara bukan terletak pada bangunan tinggi atau harta yang banyak, tetapi pada jati diri rakyatnya yang berakhlak, berjiwa besar dan saling mempercayai,” jelasnya.

Rakyat diseru nyalakan semula ‘pelita’ keinsafan dan kemanusiaan – Saarani
Sebahagian tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Deepavali Tahun 2025 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan di Stadium Indera Mulia, Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 OKTOBER 2025.

Ujar beliau, apabila kasih hilang, kekuatan bangsa akan runtuh dan apabila kejujuran semakin lenyap, kepercayaan akan mula terhakis.

“Apabila kepercayaan hilang, longgarlah asas perpaduan yang menjadi tiang kesejahteraan negeri,” ujarnya.

Sehubungan itu, Saarani menyeru seluruh rakyat bersempena perayaan Deepavali supaya bersama-sama membetulkan keadaan dengan menyalakan semula pelita keinsafan dan kemanusiaan di dalam hati masing-masing.

“Marilah kita jadikan nilai kasih sayang sebagai cahaya, dan perpaduan sebagai pelitanya. Hanya apabila hati-hati manusia bersinar, barulah negeri dan negara akan terang dengan kedamaian,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Perak berkenan berangkat ke majlis sambutan Deepavali Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI