PARIT – Kerajaan Negeri Perak komited dalam memastikan golongan warga emas menikmati akses kesihatan yang lebih meluas, mudah dan cepat selaras dengan peningkatan jumlah populasi berumur 60 tahun ke atas di negeri ini.
Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, memandangkan negeri itu mencatatkan jumlah tertinggi warga emas di Malaysia, kerajaan negeri sentiasa berusaha menaik taraf fasiliti rawatan serta pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa.
“Antara isu yang dibangkitkan adalah akses dari segi perkhidmatan termasuk kesihatan, rawatan kesihatan dan sebagainya.
“Sebab itu program-program kami di bawah agensi sama ada di Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak (Wanita Perak) ataupun mana-mana agensi, kita mengambil pendekatan untuk membawa rakan-rakan strategik turun padang termasuk klinik-klinik swasta membuat pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Perak di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Wanita Perak, Jamilah Zakaria.

Dalam perkembangan sama, Salbiah turut menyokong penuh cadangan supaya warga emas diberi laluan dan akses yang lebih singkat di hospital memandangkan beberapa hospital kini telah mula menyediakan kemudahan khas untuk golongan itu serta ibu mengandung.
“Kalau syor untuk warga emas mendapatkan akses yang lebih singkat dan mudah di hospital sudah tentu saya menyokong 100 peratus.
“Saya kira banyak juga hospital dah mula memberi kemudahan kepada warga emas, ibu mengandung untuk memastikan mereka dapat akses kepada perkhidmatan dengan lebih cepatlah,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, selain akses kesihatan, kerajaan negeri turut melakukan pelbagai inisiatif lain bagi menyokong kesejahteraan warga emas di Perak termasuk melalui program komuniti mesra usia, bantuan kebajikan serta penglibatan aktif dalam kegiatan sosial dan kesukarelawanan.
“Semua aktiviti ini mencerminkan pendekatan holistik yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan fizikal, mental, emosi dan spiritual warga emas.
“Selain itu, di bawah Program Santunan Kasih, Wanita Perak telah melaksanakan Program Warga Emas Fit (WE Fit) bermula 14 September sehingga 16 Oktober lalu melibatkan tujuh lokasi iaitu Gerik, Selinsing, Trong, Manjoi, Behrang, Pengkalan Baharu dan Chenderoh,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dapatan WE Fit bantu Perak rangka inisiatif untuk warga emas


