KUALA LUMPUR – Perdana Menteri hari ini membidas tindakan parti pembangkang yang terus mengkritik kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump termasuk sambutan dan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia telah manfaatkan peranan selaku Pengerusi ASEAN dalam pertemuan dengan Trump termasuk isu Laut China Selatan, selain juga penyelesaian komprehensif Gaza.
Menurutnya, pendirian itu diluahkan kepada Trump ketika beliau dalam perjalanan selama 40 minit.
Malah, dalam Sidang ASEAN-AS juga, isu itu turut dikemukakan kepada Trump.
“Saya tidak tahu jika ada pemimpin lain berdepan dengan Trump dapat menyampaikan dengan benar dan tegas.
“Kawan-kawan kita ni macam keramat, semua kebaikan dipadamkan. Yang dilihat hanya tarian…tarian zapin, Melayu bukan tango.
“Tetapi ada usaha untuk memberitahu Trump pasal mesti ada penyelesaian komprehensif di Gaza, tiada penghargaan. Kita pertahankan hak kita sebagai centrality, berbaik dengan Amerika dalam perdagangan, pada masa sama baik dengan China.
“Cakap pasal rare earth (nadir bumi), tidak betul. Kita tidak eksport raw (mentah), kita eksport selepas diproses. Menteri MITI telah jelaskan semalam,” katanya.
Anwar berkata, sambutan yang diterima Trump sama dengan Presiden China, Xi Jinping – tiada sambutan di Seri Perdana dan Putrajaya International Convention Centre berbanding pemimpin Brazil dan Afrika yang disambut di tiga lokasi.
Meskipun berdepan dengan kritikan, Anwar berkata, beliau sangat lega kerana sudah meluahkan hati ke hati tentang Gaza dan Palestin.
“Secara rasmi tiga kali, selain dalam The Beast secara hati ke hati,” jelasnya.
Mengulas mengenai isu negara tergadai berhubung pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART), Anwar berkata, kekeliruan ini berlaku kerana pihak-pihak terlibat tidak membaca tidak menyeluruh.
“Sebab itu Menteri MITI cabar, masalah baca tak menyeluruh. Premier China tentunya apa-apa libatkan AS, mereka teliti line by line.
“Ini masalahnya apabila membaca tidak secara menyeluruh. Tentunya apa-apa dilakukan oleh AS tentunya diteliti ‘line by line’ (dibaca teliti) oleh China.
“Kalau ada ditafsirkan oleh sesetengah Ahli (Parlimen) pembangkang, ia akan menjejaskan hubungan kita dengan China. Kalau unsur nadir bumi dimonopoli AS, tidak boleh dengan China… ini tidak berlaku
“Jadi kita jadi ‘lebih Hamas dari Hamas’, ‘lebih China dari China’. Ini masalah kita kerana politik yang menanam sikap benci begitu saja. Saya kata teliti dulu undang-undangnya, teliti peruntukannya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata, kehadiran negara-negara luar besar ketika sidang berkenaan bukan semata-mata tentang keberhasilan menerusi persidangan.
“Terbukti akhirnya Malaysia diiktiraf, bukan soal perdana menteri (tetap mengenai) lebuh raya kita hebat itu satu dunia melihat, liputan puluhan juta lihat tentang kejayaan kita tentang pembangunan dan jasa-jasa kita.
“Janganlah sakit hati dengan kejayaan negara, perdana menteri boleh datang dan pergi, naik dan jatuh tetapi negara mesti diangkat,” katanya.
“Kalau ada prasangka ini jadinya, menyerah, menggadai, tidak ada. Soal menyerah tidak timbul, dulu bila kita baik dengan China diserang, sekarang nampak baik dengan AS diserang juga. Jadi nak buat baik dengan negara mana, Kelantan dengan Kedah sahaja? Itu pun saya baik sepatutnya baik dengan semua.
“Saya rayu kepada rakan-rakan (sama ada) sebelah ini dan sana. Saya bukan muda, saya kerja sedaya upaya untuk dapat perhatian negara penting untuk faedah dan masa depan negara kita.,” katanya lagi.-MalaysiaGazette


