KUALA LUMPUR – Sehingga kini lebih 80 peratus daripada rakyat Malaysia telah menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk membeli barangan keperluan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan, baki SARA adalah dalam kalangan penerima golongan kaya.
“Ada lebih 20 peratus belum (tebus) terutama golongan kaya termasuk, ahli Parlimen dan menteri saya harap supaya wang itu boleh dikembalikan kepada rakyat miskin pada 2026. Kalau ambil dan bagi kepada jiran yang miskin itu baik,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu beliau berkata, SARA merupakan salah satu insiatif kerajaan untuk menangani kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat.
“Saya yakin kalau keadaan baik saya rasa i-SARA program yang disenangi rakyat kerana mereka boleh beli keperluan mereka dan memenuhi keperluan keluarga,” katanya lagi.
Selain itu katanya, kerajaan juga telah menaikkan gaji minimum kepada RM1,700.
“Sebab apa kita naikkan gaji minimum dua kali, dari RM1,200 sebelumnya naik kepada RM1,700, ia untuk mengurangkan relatif miskin. Selain itu kenaikan gaji penjawat awam yang rendah masuk dalam kategori miskin.
“Saya harap ada upaya lagi untuk meningkatkan sebaik sahaja ekonomi kian meyakinkan,” jelasnya.
Pada Julai lalu, Anwar mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warga negara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program SARA.-MalaysiaGazette


