Lembaga Disiplin Bersatu hanya alat untuk sasar Hamzah – Wan Saiful

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah disalahgunakan sebagai alat untuk mensasarkan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, dakwaan itu bukan lagi bersifat andaian sebaliknya dapat dibuktikan menerusi rakaman penuh sesi perjumpaan beliau bersama Lembaga Disiplin yang diadakan pada 8 Oktober lalu di ibu pejabat parti itu.

“Kandungan perjumpaan ini jelas menunjukkan bahawa aduan sebenar terhadap saya langsung tidak dibincangkan dengan betul, tetapi Lembaga Disiplin lebih banyak cuba mewujudkan persepsi negatif terhadap Timbalan Presiden parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Saiful, sesi berkenaan turut memperlihatkan sikap berat sebelah dalam kalangan ahli panel malah beliau sendiri telah membantah kehadiran dua individu yang didakwa mempunyai konflik kepentingan namun bantahan itu tidak diendahkan.

Wan Saiful turut mendedahkan beliau diberikan masa sehingga 15 Oktober untuk memberi penjelasan tetapi surat pemecatannya telah dihantar lebih awal pada 13 Oktober lalu.

“Ini menimbulkan persoalan adakah Lembaga Disiplin diarahkan untuk mengubah keputusan mereka bagi memenuhi agenda individu tertentu?” soalnya.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman yang dikongsikan, ahli Lembaga Disiplin sendiri mengakui proses siasatan mereka tidak mengikut model perundangan atau kehakiman malah boleh bersandarkan kepada maklumat daripada ‘kedai kopi dan telefon’.

Malah dalam sesi itu turut kedengaran beberapa kenyataan yang secara jelas mengaitkan nama Hamzah dengan tuduhan kononnya mempunyai niat untuk menjadi Perdana Menteri serta menjalin persefahaman dengan Pas.

“Datuk Radzi Manan dengan emosi sekali lagi mengatakan there must be somebody yang arahkan you… siapa yang betul-betul merosakkan you…. you dah rosak”

“Sambil menuding jari kepada telefon yang saya gunakan untuk merakam, Datuk Radzi Manan berkata ‘I want to get a message to him’ merujuk kepada individu yang dia dakwa berada di belakang semua perkara.

“Datuk Radzi Manan mengaitkan Datuk Seri Hamzah Zainudin secara terus, “Of course I want to know, who is behind this. You know I called Hamzah kan? He is the Timbalan Presiden and I called him,” tulis Wan Saiful.

Awal Oktober lalu, Bersatu bertindak memecat keahlian Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi itu susulan pelanggaran perlembagaan dan kod etika parti.

Dalam tindakan berasingan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung hak keahlian bagi tempoh satu penggal di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.

Selain Wan Saiful, empat lagi ahli turut dipecat iaitu Mohd Azrudin Md Idris, Mohd Faizal Asmar, Mohd Fahdli Ismail dan Mohd Isa Mohd Saidi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI