KERIAN – Senyuman terukir di sebalik ujian yang dihadapi Jamilah Ghazali, 72, apabila menerima sumbangan tunai daripada agensi berita MalaysiaGazette selepas kediamannya di Kampung Dew, Simpang Empat dekat sini terjejas teruk akibat banjir kilat pada hujung Oktober lalu.
Dia menzahirkan rasa syukur serta terharu atas keprihatinan pihak MalaysiaGazette yang tampil membantu meringankan beban keluarganya selepas sebahagian besar perkakas dan perabot rumah musnah ditenggelami air.

“Alhamdulillah, saya amat-amat bersyukurlah kerana MalaysiaGazette sudi memberikan sumbangan kepada saya. Alhamdulillah, terima kasih banyak.
“Beban yang dirasai selepas kejadian banjir itu mula sedikit rasa ringan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette atau MG Perak di Kampung Dew, Simpang Empat dekat sini, pada Ahad.

Bantuan tunai itu disampaikan oleh Editor MG Perak, Mohamad Hafizi Mohd Said kepada Jamilah, yang juga merupakan ibu kepada wartawan MalaysiaGazette, Reza A. Hamid, 44.
Mengimbas kembali kejadian itu, Jamilah berkata, banjir kilat pada kali ini adalah yang paling buruk pernah dialaminya dalam tempoh lebih 30 tahun menetap di kawasan berkenaan.
Katanya, kekerapan hujan lebat dalam tempoh lama selama dua hingga tiga hari dan pelepasan air dari Empangan Bukit Merah dipercayai menjadi antara punca kepada insiden banjir kilat berkenaan.

“Saya tersedar daripada tidur sekitar jam 4 pagi dan ketika itu saya ingat ia hanya hujan lebat seperti biasa, namun tak sangka air naik cepat sangat.
“Sekitar jam 6 pagi, air sudah masuk dalam rumah sehingga ke paras atas lutut, dan saya memang tidak pernah terfikir ia seteruk itu.
“Pada saat itu juga, saya mula rasa panik, dan tak tahu hendak buat apa sebab sudah dua tahun tinggal sendiri selepas kematian suami. Hanya berserah kepada Allah,” ujarnya.
Ibu kepada enam orang anak bagaimanapun berkata, dia bersyukur apabila jiran yang tinggal berhampiran tampil menghulurkan bantuan kepadanya sebelum menelefon anak serta ahli keluarga tentang banjir kilat yang dihadapi.


Jamilah berkata, selepas tinggal sementara di kediaman keluarga di Kamunting, dia dibawa oleh salah seorang anak untuk menetap sementara di Kuala Lumpur sehingga situasi banjir kilat disahkan selamat.
“Selepas kira-kira dua minggu, saya kembali ke Kampung Dew untuk melihat keadaan rumah pada pasca banjir kilat.
“Saya mendapati barang-barang utama dalam rumah seperti peti sejuk, katil, almari, kerusi tilam dan sebagainya terjejas teruk dengan anggaran keseluruhan nilai puluhan ribu ringgit,” katanya lagi.

Sementara itu, Reza ketika ditemui berkata, kerja-kerja pembersihan rumah ibunya itu digerakkan sejak pagi Ahad dengan bantuan ahli keluarga, sepupu serta penduduk setempat.
Menurutnya, lebih 20 orang terlibat termasuk ahli keluarga dari Pulau Pinang dan Bagan Serai turut sama datang membantu membersihkan kediaman tersebut.

“Kita mula kerja-kerja pembersihan pada jam 9 pagi dengan kita bawa keluar barang-barang rumah yang rosak seperti almari, tilam, dan barang elektrik. Sampai sekarang sudah lapan trip lori satu tan ulang-alik buang barang.
Tambah Reza lagi, kebanyakan perabot dan peralatan rumah tidak dapat diselamatkan kerana air naik terlalu cepat hingga ibunya tidak sempat menyelamatkan atau memindahkan barangan.
“Sekarang ni fokus bersihkan kawasan luar dan dalam rumah. Kekotoran yang ‘major’ atau besar mungkin boleh siap dalam beberapa hari, tetapi hendak kemas bahagian dalam rumah mungkin ambil masa sehingga dua minggu,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Banjir Perak: Jumlah mangsa meningkat kepada 2,806 orang


