KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah menyalurkan Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan Bantuan Selenggara dan Naik Taraf (SNT) untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) berjumlah RM150 juta setakat 5 November ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, kesemua 1,250 SAR sudah menerima sepenuhnya peruntukan khas bagi tahun semasa 2025.
“Sebanyak 820 sekolah agama dan 430 premis KAFA di bawah Kerajaan Negeri telah menerima peruntukan sejumlah RM87,072,268.
“Manakala baki sejumlah RM62,927,732 telah diagihkan kepada Institusi Pendidikan Islam lain yang terpilih,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad @ Yahaya minta Perdana Menteri menyatakan jumlah bantuan serta peruntukan yang telah disalurkan kepada Sekolah Agama Rakyat bagi 2025.
Zulkifli berkata, s,ejak 2023 sehingga 2025, Kementerian Kewangan (MoF) telah menyalurkan Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan Bantuan SNT sebanyak RM370 juta kepada Jakim.
“Sepanjang tempoh tersebut, jumlah peruntukan yang disalurkan adalah 2023 adalah RM100 juta, 2024 RM120 juta, 2025 RM150 juta. Nampak kenaikan.
“Peruntukan Khas ini diteruskan pada 2026 melalui pengumuman Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dengan peruntukan RM150 juta bagi tujuan menambah baik prasarana dan lain-lain kepada IPI.
“Ia merangkumi SAR, Sekolah Tahfiz dan institusi pondok yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) di seluruh negara,” katanya.
Jelasnya, walaupun ada IPI yang bertaftar di negeri-negeri tidak menggunakan nama SAR, namun kerajaan masih memberikan peruntukan khas tersebut.
“SAR meliputi Sekolah Rendah Agama Negeri (SRAN), Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Rendah Agama Swasta dan Sekolah Menengah Agama Swasta yang berdaftar di negeri-negeri.
“Skop projek selenggara dan naik taraf yang layak dipertimbangkan bagi pembiayaan bantuan peruntukan khas tersebut meliputi enam kluster.
Ia meliputi keselamatan, selenggara dan naik taraf infrastruktur, pencegahan kebakaran, pendawaian elektrik, selenggara dan naik taraf bangunan serta sistem perpaipan.
“Skop projek selenggara dan naik taraf ini akan dikaji bagi tujuan perluasan untuk 2026 dan seterusnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


