IPOH – Seorang Penolong Pegawai Teknologi Maklumat didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada Selasa selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi menuntut bayaran kerja penyelenggaraan perkakasan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang tidak dilaksanakan, dua tahun lalu.
Tertuduh, Zuraime Ramli, 43, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Dia turut berdepan hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda itu.
Berdasarkan pertuduhan, Zuraime yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Teknologi Pendidikan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang, Tapah telah menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu Sijil Akaun Penerimaan, nombor pesanan PO230000000419043 bagi kerja-kerja penyelenggaraan ICT yang tidak dilaksanakan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat PPD Batang Padang, Tapah pada 1 Ogos 2023.
Pertuduhan itu dilakukan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, PPD Batang Padang menerima peruntukan penyelenggaraan ICT Tahun 2023 berjumlah RM25,000 dan syarikat Bidor Soon Hin Computer Sdn Bhd telah dipilih bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan peralatan ICT di sekolah-sekolah serta pejabat PPD sekitar daerah berkenaan.
Tertuduh turut menyediakan dan memperakui dokumen Sijil Akaun Penerimaan pada 1 Ogos 2023 walaupun kerja tidak dilaksanakan.
Hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut mendapati bayaran berjumlah RM24,800 selepas potongan RM200 kepada Commerce Dot Com Sdn Bhd telah dikreditkan ke akaun syarikat pembekal pada 16 Ogos 2023.
Dalam pada itu, siasatan turut mengesahkan kerja pembekalan tidak dibuat, manakala pengurus syarikat, Soo Hong Sing, mengakui pembekalan tidak dilaksanakan dan mendakwa tertuduh meminta untuk menumpang dahulu peruntukan tersebut dalam akaun syarikat berkenaan kerana bimbang akan ia akan ditarik semula jika tidak digunakan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM G Nanthini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Zuraime dalam rayuannya memohon hukuman ringan dijatuhkan ke atasnya memandangkan dia perlu menanggung isteri, empat orang anak serta ibu mertua yang merupakan ibu tunggal.
Bagaimanapun, Nanthini memohon supaya hukuman denda dikenakan ke atas tertuduh sepertimana akuan yang telah dipersetujui oleh mahkamah.
Zuraime membayar denda tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bekas pekerja TNB mengaku salah perdaya tender bernilai RM4.3 juta


