PARIT – Hujan berterusan dalam tempoh hampir seharian pada Isnin serta limpahan air dari kawasan berhampiran menyebabkan beberapa rumah dinaiki air setinggi paras pinggang hingga ke dada.
Itu antara detik cemas yang dihadapi penduduk selepas banjir melanda di kawasan Kampung Parit 6, Layang-Layang Kiri, dekat sini sehingga memaksa 195 individu dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Layang-Layang Kiri.

Bagi pesara Felcra, Shafiee Bhashim, 74, insiden banjir pada kali ini jauh lebih buruk berbanding bencana sama berlaku kira-kira sebulan yang lalu.
Menurut beliau, paras air naik terlalu cepat hingga memaksanya segera berpindah sementara ke rumah ahli keluarga yang lain.
“Hujan lebat dari jam 5 pagi sehingga keesokan harinya. Apabila tiba waktu petang, saya sedar air sudah mula naik di kawasan halaman rumah dua tingkat saya.
“Tidak lama selepas itu, ketika saya turun ke tingkat bawah, saya mendapati air mula memasuki rumah dan ia berterusan sehingga ke paras dada,” katanya ketika ditemui di PPS SK Layang-Layang Kiri, dekat sini, pada Isnin.

Datuk kepada 10 cucu itu berkata, kejadian banjir yang pernah dihadapi sebelum ini telah membuatnya lebih bersedia untuk menghadapi situasi sama.
“Selepas lihat keadaan air mula masuk rumah, ahli keluarga dan penduduk setempat segera bantu saya untuk memindahkan perkakasan rumah ke tingkat atas,” katanya.
Sementara itu seorang lagi mangsa, Ku Shahbudin Ku Ismail, 60, turut senada apabila menyifatkan kejadian banjir kali ini merupakan yang paling buruk setakat ini.

Bekas pemandu lori itu memberitahu, walaupun cuba meletakkan barangan rumah di tempat yang tinggi namun dia tidak menduga paras air naik daripada yang dijangka.
“Barang yang dapat diselamatkan hanya yang setakat termampu sahaja. Barang rumah lain seperti televisyen, peti sejuk, pakaian dan sebagainya terjejas dengan banjir.
“Namun saya bersyukur kenderaan seperti motosikal dan kereta saya berjaya membawanya ke tempat lebih tinggi,” ujarya.

Ku Shahbudin mendakwa, ketika kejadian, benteng sebuah ladang Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berhampiran yang dipercayai pecah telah memburukkan situasi banjir di Kampung Parit 6.
Justeru dia berharap agar pihak terbabit dapat segera melakukan kerja-kerja pemulihan dan menambah baik benteng di ladang tersebut supaya insiden sama tidak lagi berulang pada masa akan datang.

“Air banjir di kawasan kampung sudah sedia tinggi dari hujan sebelumnya. Namun apabila air dari ladang RISDA turun pula, ia memburukkan keadaan dengan dalam tempoh dua tiga jam, paras air naik dengan pantas.
“Saya berharap tindakan susulan dapat diambil kerana kali ini keadaan terlalu teruk kerana melibatkan keseluruhan kampung yang terdiri lebih daripada 40 rumah,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


