IPOH – Jumlah mangsa banjir menurun kepada 71 mangsa daripada 27 keluarga setakat jam 8 pagi ini berbanding 92 mangsa banjir daripada 33 buah keluarga semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, daerah Larut Matang dan Selama (LMS) merekodkan penurunan dengan 20 mangsa melibatkan lapan keluarga yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Hampar.
Menurutnya, kawasan yang terjejas banjir di LMS membabitkan Kampung Batu 25, Kampung Berjaya, Kampung Batu 23 dan Sungai Rotan.
“Bagaimanapun, jumlah mangsa di daerah Manjung kekal dengan 51 mangsa daripada 19 keluarga dari Kampung Kilang, Taman Anggerik Permai dan Kampung Pulau Kabung, masih mendapat perlindungan di SK Beruas,“ katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, mengikut ramalan cuaca, kesemua daerah kecuali Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim akan mengalami hujan pada malam ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


