IPOH – Dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di dua daerah di negeri ini bagi menempatkan 92 mangsa banjir daripada 33 buah keluarga susulan hujan lebat berterusan petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, dua daerah yang terjejas adalah Larut Matang dan Selama (LMS) serta Manjung.
Menurutnya, seramai 41 mangsa daripada 14 keluarga di daerah Larut Matang dan Selama di buka di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Hampar yang dibuka pada jam 8 malam pada Ahad.
“PPS ini menempatkan penduduk dari Kampung Batu 25, Kampung Berjaya, Kampung Batu 23 dan Sungai Rotan, Batu Hampar di mana kediaman mereka dimasuki air disebabkan hujan lebat melebihi dua jam petang semalam.

“Sebuah lagi PPS yang dibuka adalah SK Beruas di daerah Manjung yang dibuka pada jam 11.30 malam tadi yang menempatkan 51 mangsa daripada 19 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, kesemua mangsa yang dipindahkan ke PPS SK Beruas merupakan penduduk dari Kampung Kilang, Taman Anggerik Permai dan Kampung Pulau Kabung.
Sementara itu dalam laporan sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan ribut petir dan hujan lebat akan melanda di daerah Kerian, Larut Matang dan Selama, Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak. -MG Perak


